Khamis, 3 November 2016

Langgar peraturan, Speaker arah MP DAP keluar dewan

 
 
Pandikar Amin Mulia
Pandikar Amin Mulia


Ahli Parlimen DAP diarah keluar dewan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia setelah mengambil kesempatan pada sesi soal jawab untuk mengemukakan usul membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) sepatutnya bertanyakan soalan tambahan berkaitan dengan Kementerian Pengangkutan kerana ketika itu giliran Timbalan Menteri, Datuk Aziz Kaprawi menjawab.

Bagaimanapun, beliau cuba ‘lari’ dari tajuk dan ditegur oleh Pandikar Amin yang menganggap Bukit Mertajam tidak mengikut peraturan dewan.

Steven Sim masih berdegil walaupun ditegur, menyebabkan Speaker menutup pembesar suara di mejanya dan meminta Bentara Dewan mengiringi Ahli Parlimen itu keluar dewan.

Beliau mengambil masa kira-kira tiga minit untuk keluar sambil diperhatikan dua Bentara Dewan, sebelum mengisi dokumen dalam beg dan berjalan keluar.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang tidak berpuas hati dengan tindakan Pandikar Amin mengarahkan anak buahnya keluar dewan menyifatkan Speaker sebagai zalim.

Pandikar Amin kemudian meminta Ahli Parlimen Gelang Patah itu menarik balik perkataan “zalim” atau berdepan dengan tindakan.

Sementara itu, perkataan “kong kali kong” bergema dalam Dewan Rakyat pada sesi yang sama.

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan perkhidmatan Malaysian Airlines Berhad (MAB) terutama berkaitan penerbangan domestik sangat lemah menyebabkan syarikat penerbangan itu mengalami kerugian walaupun menggunakan khidmat pengurusan dari luar negara.

Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR-Tumpat) berkata, jika sedemikian perkhidmatan disediakan, adalah lebih baik kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan menggunakan khidmat rakyat tempatan yang jauh lebih berpengalaman.

Begitu juga dengan cukai yang dikenakan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disifatkan agak tinggi dan membebankan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan udara.

Bagaimanapun, Aziz menangkis dakwaan cukai tinggi yang dikenakan berbanding lapangan terbang di Singapura dan Hong Kong. -- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: