Selasa, 15 November 2016

Kerajaan perlu tunggu suku pertama tahun depan jika mahu ubah Bajet 2017

 
 
Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani


Kerajaan perlu tunggu sehingga suku pertama tahun depan jika ada berlaku perubahan dalam Bajet 2017.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, buat masa ini Bajet 2017 masih mengekalkan harga minyak dunia AS$45 setong.

"Kita akan berpegang kepada harga minyak AS$45 setong, jika terdapat apa-apa perubahan (pada Bajet 2017), kita perlu tunggu sehingga suku pertama tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang kedudukan harga niaga hadapan Brent yang jatuh sekitar AS$44 setong semalam.

Mengulas mengenai kenaikan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) yang kira-kira 50 peratus dipegang oleh pelabur asing, Johari berkata, pelabur MGS terdiri daripada dana pencen antarabangsa dengan kepentingan jangka panjang.

Jelasnya, pelabur-pelabur itu bukan dalam kalangan pelabur jangka pendek atau spekulatif.

"Sebahagian daripada mereka telah melabur dalam MGS selama lebih 30 tahun dan mereka terus melabur di negara ini kerana mempunyai keyakinan terhadap kita.

"Sesiapa yang berfikir sudah tiba masanya untuk keluar daripada pasaran MGS, Bank Negara Malaysia akan memudahkan mereka," katanya.

Semalam, hasil 10 tahun bagi MGS meningkat sebanyak 29 mata asas kepada 4.135 peratus berbanding dengan 16 mata asas pada Jumaat lalu. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: