Ahad, 13 November 2016

Jatuhkan Najib agar kedaulatan negara dikembalikan

whatsapp-image-2016-11-12-at-15-59-55

Oleh Syazana Hasanudin


SHAH ALAM: Misi paling besar dalam menjatuhkan kerajaan UMNO-Barisan Nasional adalah untuk mengembalikan kedaulatan negara yang semakin tercemar di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata ia amat berbeza semasa di zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, apabila pihak pembangkang turut bersetuju dengan keberanian dan kelantangannya mempertahankan kedaulatan negara di peringkat antarabangsa.

“Walaupun pembangkang berbeza pendapat dengan Tun M semasa beliau jadi Perdana Menteri, beliau tidak mempertaruhkan kedaulatan negara,” ujarnya.

“Pada zaman Najib ini, dengan Amerika tidak berani, China tidak berani, malah dengan Filipina pun tidak berani.

“Boleh pula Najib menyanyi dan menari dengan Presiden Filipina (Duterte) sedangkan Filipina pernah berkata mahu menawan Sabah dari Malaysia,” kata Anthony dalam sidang konvensyen Pakatan Harapan tadi.

Beliau menegaskan, satu-satunya cara untuk mengembalikan kedaulatan negara adalah dengan menjatuhkan kerajaan UMNO-BN serta membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Seremban itu turut menyatakan hasrat agar kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dapat dimeterai dan direalisasikan secepat mungkin.

“Jika kita ada matlamat sama, hati pun kena sama. Matlamat kita adalah sama iaitu untuk jatuhkan kerajaan korup di bawah pimpinan Najib,” ujarnya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: