Rabu, 9 November 2016

Jangan bincang siapa bakal PM dalam Konvensyen Pakatan Harapan

MALAYSIA DATELINE
 
 
Mohd Sayuti OmarMohd Sayuti Omar

Konvensyen Pakatan Harapan yang akan berlangsung pada 12 November ini harus mengenepikan persoalan siapa bakal perdana menteri jika menang dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar atau lebih dikenali sebagai MSO, Pakatan Harapan - Amanah, PKR dan DAP  serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  harus bersetuju menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri seperti dipersetujui sewaktu penubuhan Pakatan harapan tahun lalu.

"Jangan ada mana-mana parti cuba meletak atau menamakan sesiapa dari kalangan mereka sebagai bakal PM, kerana tindakan itu sudah tentu ia akan menimbulkan persoalan sesama sendiri dan akhirnya isu siapa PM itu akan dijadikan isu oleh Umno BN. Berbalahlah dan carilah siapa untuk jadi PM selepas menang, bukan sebelum pertarungan," tulisnya dalam blognya Merah Tinta MSO hari ini.

Pemerhati politik itu juga menegaskan, konvensyen itu juga harus membuat persetujuan untuk menggunakan satu lambang sahaja dalam PRU akan datang bagi menghadapi BN secara satu lawan satu.

"Jika timbul masalah untuk mendapat kelulusan ROS, parti-parti pembangkang perlu bersetuju menerima pakai salah satu lambang dari parti gabungan itu sebagai lambang bersama," katanya.

Selain itu beliau mencadangkan konvensyen agar mengambil persetujuan untuk merangka satu manifesto bersama antara parti-parti pembangkang, tidak ada manifesto lampiran atau khusus untuk mana-mana puak atau golongan.

Beliau juga mengingatkan keempat-empat parti agar mencari formula pembahagian kerusi di antara parti-parti pembangkang dan mengelakkan perebutan calon agar tidak bertembung sesama sendiri.

"Mengenai kerusi ini ia perlu dimuktamadkan awal. Selepas dimuktamadkan semua pihak kena akur dan bekerjasama dan menganggap yang bertandingkan itu adalah parti mereka," katanya lagi.

Beliau juga berkata, konvensyen harus dengan jelas menyatakan sikap menolak terhadap Pas agar ia tidak menjadi persoalan menyerabutkan dalam kalangan ahli parti pembangkang.

"Cara itu juga ia akan menutupkan percakapan dan dolak dalih Pas yang berbagai-bagainya itu," ujarnya.
Konvensyen Pakatan Harapan buat pertama kali ini akan diadakan di Shah Alam pada Sabtu ini.


Tiada ulasan: