Selasa, 8 November 2016

Implikasi hutang China RM50 bilion





 
Oleh A kadir Jasin


KITA baru saja berbincang mengenai bahaya terlalu bergantung kepada negara China dalam pembangunan negara kita.Kebimbangan kita itu terbukti berasas apabila kerajaan mengambil keputusan berhutang RM50 bilion daripada China untuk membina Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Tidak ramai daripada kita tahu mengenai projek raksasa itu kerana tidak banyak atau belum banyak yang diperkatakan mengenainya.

Tiba-tiba sahaja ia muncul dan dalam sekelip mata menjadi projek yang akan mengikat kejap pergantungan negara kita kepada China dari segi kewangan, kepakaran dan guna tenaga.

Daripada apa yang kita dengar dan baca dari Beijing hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak adalah projek itu dibagi secara francais seratus peratus kepada China.

China membekal modal, kepakaran, peralatan dan tenaga kerja. Ini mungkin projek strategik nasional pertama yang diserahkan bulat-bulat kepada sebuah negara asing untuk dilaksanakan.

Kita kena ingat, di negara China tidak ada pemisahan di antara kerajaan dengan perusahaan. Kerajaan memiliki semua industri dan kegiatan ekonomi strategik.

Kerajaan China seperti kita maklum adalah kerajaan komunis walaupun dari segi ekonomi ia mengamalkan kaedah kapitalis.

Bukan projek ECRL saja dibagi kepada China. Daripada laporan media, kerajaan juga bersetuju, buat kali pertama dalam sejarah, membeli kapal perang persisiran pantai daripada China dan bekerjasama dalam kawalan Laut China Selatan.

Saya tidak tahu sama ada Kabinet, Barisan Nasional dan Umno telah membincangkan sedalam-dalamnya anjakan paradigma kerjasama dua hala yang melibatkan negara komunis China itu.

Saya tidak mahu mempersoalkan daya maju ECRL kerana saya tidak pernah mendengar mengenainya apatah lagi mengetahui mengenai kajian kemungkinan (feasibility study) ke atasnya. Yang menakjubkan adalah kepantasan projek itu dirancang, diputuskan dan kontraknya diberikan kepada China.

Kita tidak menafikan yang China telah mengumpul dana yang banyak dan membangunkan kepakaran dalam bidang pengangkutan kereta api dalam jangka masa singkat.

Dalam masa kurang dua dekad China telah berjaya membina sistem kereta api laju di antara Beijing dengan Shanghai dan 1,956 kilometer kereta api gunung di Dataran Tibet.

Sejak itu, Parti Komunis China menjadikan kereta api sebagai landasan kedua perluasan pengaruh China secara gandingan kepada laluan maritim.

Dasar China adalah menggunakan kereta api untuk “menakluki” daratan dan armada untuk menguasai laut dalam usahanya kembali menjadi kuasa ekonomi dan tentera dunia.

Projek-projek di negara kita seperti ECRL, Bandar Malaysia dan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura adalah secocok dengan pelan induk kereta api Asia yang menghubungkan China dengan Asia Tenggara, Asia Selatan dan Eropah.

Impian China adalah menjelmakan semula kedua-dua komponen Laluan Sutera (Silk Road), iaitu darat dan laut. Laluan dagangan yang menghubungkan China dengan Eropah itu bermula pada zaman Dinasti Han sekitar 207 sebelum era Kristian hingga 220 era Kristian atau 2,213 tahun lalu.

Jadi apa yang sedang berlaku sekarang adalah China menggunakan kuasa kewangan, teknologi, diplomasi dan ketenteraan untuk mengembalikan keagungan tamadun silamnya dalam bentuk baru.

Seperti yang telah saya ceritakan dalam rencana-rencana terdahulu, 60 peratus saham syarikat pemaju Bandar Malaysia di tapak Pangkalan TUDM Sungai Besi telah pun dijual kepada konsortium China-Malaysia dan China dipercayai mendahului dalam rundingan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura.

Baru-baru ini, Pengurus Besar China Railway Group di Malaysia, Cai Zemin berkata, syarikatnya akan membina bandar bawah tanah terbesar di dunia di tapak Bandar Malaysia yang akan menjadi “permata bergemerlapan” dalam rangkaian kereta api China.

Daripada aspek hutang kerajaan yang menggunung, pinjaman RM50 bilion daripada negara China itu akan melonjakkannya melepasi RM700 bilion. Itu belum dikira kos kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang dianggarkan RM50 bilion dan hutang 1MDB RM50 bilion. Ada yang kata sudah naik kepada RM53 bilion.

Perangkaan Bank Negara Malaysia pada akhir Jun lalu, menunjukkan hutang kerajaan sebanyak RM655.74 bilion. Garis waktu (timeline) hutang kerajaan adalah seperti berikut: Akhir zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak RM189 bilion, Tun Abdullah Ahmad Badawi RM306 bilion dan Mohd Najib sekarang RM655.74 bilion tidak termasuk hutang RM50 bilion daripada China. Wallahuaklam

Tiada ulasan: