Sabtu, 19 November 2016

Had laju lebuh raya kekal 110km

MALAYSIAKINI


Post Pic
 
 
BATU PAHAT: Kerajaan tidak bercadang menaikkan had laju maksimum di lebuh raya seluruh negara yang ditetapkan sehingga 110 kilometer pada masa ini.
 
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata ia berikutan kadar kemalangan di negara ini masih tinggi dan kelebaran lebuh raya pada masa ini juga hanya sesuai dengan had laju berkenaan.
 
"Kerajaan tidak akan naikkan kadar had laju lebuh raya walaupun menerima banyak cadangan yang mahu ia dinaikkan mengikut peredaran zaman.
 
"Pelbagai faktor termasuk teknologi kenderaan yang lebih maju serta bagi mengekang pemandu mengantuk antara alasan orang ramai bagi mewajarkan kenaikan itu.
 
"Namun mengikut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), setiap lima kilometer had laju yang dinaikkan di lebuh raya, akan meningkatkan risiko kemalangan maut sehingga dua kali ganda," katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan 2016 di Batu Pahat Mall, di sini, hari ini.
 
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Arifin Che Mat; Ketua Pengarah MIROS, Prof Dr Wong Shaw Voon dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab Han Ramin.
 
Sementara itu, Ab Aziz berkata, Malaysia antara negara Asia yang mencatatkan indeks kematian akibat kemalangan tertinggi di dunia.
 
"Indeks kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di negara kita adalah 2.55 kematian pada tahun lalu, sedangkan di negara maju seperti United Kingdom, Sweden dan Australia pula kurang 2.0 kematian bagi 10,000 kenderaan berdaftar," katanya.
 
 

Tiada ulasan: