Selasa, 15 November 2016

Guru terbabit Bersih akan dikenakan tindakan

THE MALAYSIAN TIMES


mahdzir-khalid


KUALA LUMPUR: Guru yang didapati menyertai perhimpunan Bersih yang dijadual berlangsung Sabtu ini akan berhadapan tindakan disiplin, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata tindakan tatatertib yang akan dikenakan termasuk digantung tugas.

“Selain guru, sekiranya ada pegawai dan kakitangan kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah yang didapati menyertai perhimpunan, juga akan dikenakan tindakan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan Bett Asia 2016 yang akan berlangsung selama dua hari di sini, mulai hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir turut mengingatkan supaya tidak melibatkan pelajar untuk menyertai perhimpunan itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa wujud sindiket menjual soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, beliau berkata kementerian menyerahkan perkara itu kepada  polis untuk melakukan siasatan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata setakat ini di bawah inisiatif transformasi pendidikan, sejumlah 839,921 kanak-kanak berumur empat dan lima tahun telah didaftar masuk dalam prasekolah.

“Usaha untuk meningkatkan enrolmen prasekolah akan diteruskan termasuk penyediaan bantuan yuran kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dan di bawah geran pelancaran prasekolah swasta, prasekolah swasta digalakkan berdaftar dengan kementerian.

“Pendidikan prasekolah berkualiti disediakan kepada kanak-kanak menerusi usaha peningkatan kemahiran guru prasekolah yang sekurang-kurangnya perlu memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, pelancaran Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dan pengenalan Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan,” katanya.

Mahdzir berkata Malaysia berdepan cabaran sama sepertimana di negara lain iaitu isu keberkesanan dan prestasi guru di dalam bilik darjah.

“Saya mengakui bahawa pendidikan Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan, dengan itu menerusi pelan transformasii, kementerian kini dalam peringkat pelaksanaan penilaian berasaskan sekolah.

“Untuk memastikan keberkesanan penyampaian efektif dalam bilik darjah, kualiti guru akan dipertingkatkan menerusi pelbagai langkah, termasuk meningkatkan standard kelayakan guru ke program pendidikan guru, melakukan rombakan terhadap Institut Pendidikan Guru dan meningkatkan profesionalisme guru menerusi pelbagai modaliti” katanya.

Mahdzir berkata sistem pendidikan Malaysia perlu menggabungkan teknologi, inovasi dan kreativiti untuk kekal relevan selaras dengan perubahan di dunia.

Sidang Kemuncak Kepimpinan Bett Asia 2016 ialah persidangan yang menghimpunkan pembuat keputusan penting dan kalangan pembeli dalam ruang lingkup teknologi pendidikan dari Asia dan sekitarnya.— Bernama


Tiada ulasan: