Khamis, 3 November 2016

Dr M turun ke Parlimen Selasa depan?

tun-mahathir 


Selasa depan mungkin menyaksikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke Parlimen buat kali pertama selepas meninggalkan kerajaan 2003 lalu, kali ini bersama sisi lain dengan lawannya suatu ketika dahulu.

Difahamkan beliau akan hadir dalam mesyuarat ahli Parlimen (MP) pembangkang untuk berbincang mengenai kuasa imuniti dalam Parlimen.

Perbincangan itu berkaitan siasatan ke atas beberapa MP yang membangkitkan mengenai 1MDB dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan kini kenyataan mereka sedang di ambil oleh pihak polis.

“Kita akan mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen dan bekas ahli Parlimen dan mereka akan datang Selasa depan untuk bincang mengenai strategi dan langkah seterusnya.

“Saya dah bercakap dengan Dr Mahathir dan tanya pendapat dia, Dia (Dr Mahathir) akan hadir,” kata pemimpin Veteran DAP Lim Kit Siang kepada pemberita dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Antara ahli Parlimen yang sedang disiasat ialah MP Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, MP Sempoerna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan MP Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan membocorkan rahsia kerajaan ketika perbahasan di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, pihaknya turut menjemput Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk hadir untuk menerangkan kepada semua pihak berkaitan kuasa imuniti itu.

“Muhyiddin, Shafie dan Husni akan hadir untuk bertindak atas cabaran itu. Saya juga jemput speaker untuk datang dan terangkan kepada semua apa yang dia buat untuk mempertahankan imuniti parlimen.

“Saya dah jemput semua ahli Parlimen BN dan menteri untuk hadir,” katanya.

Tiada ulasan: