Jumaat, 4 November 2016

Biar Hadi nafi kenyataannya, kata Iskandar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Hanya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja yang layak menafikan sebarang kenyataan yang dibuatnya, terutama dalam soal rundingan bersama pembangkang bersabit tujuan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya akan datang.
 
Penegasan itu disuarakan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, sambil memberitahu pihaknya belum mendapat sebarang makluman lanjut berhubung perkara berkenaan.
 
"Apa yang dilaporkan itu kita belum dapat pengesahannya. 
 
"Kalau nak nafikan pun biarlah Presiden sendiri yang nafikan. Tidak perlulah orang lain (yang nafi). Saya tidak mahu komen, biar Presiden sendiri yang buat kenyataan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di DUN Selangor, hari ini.
 
Iskandar, yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor terlebih dahulu diajukan kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menafikan kenyataan Hadi bahawa parti itu sedia berunding dengan semua parti pembangkang dalam memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
 
Nik Abduh sebaliknya menganggap kenyataan Hadi itu diputar belit oleh pihak media, dengan sengaja menambah 'Pakatan Harapan' dalam konteks rundingan berkenaan.
 
Hadi, Rabu lalu memberi amaran 'jangan kacau dalam rumah kami,' sekaligus membayangkan parti itu tidak akan berkompromi dalam isu agihan kerusi tradisi milik mereka.
 
Amaran itu disuarakan Hadi meskipun PAS ujarnya menyatakan kesediaan membuka pintu rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menjayakan prinsip satu lawan satu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Kenyataan Hadi itu menyusul selepas Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyatakan kesediaan partinya mengadakan pertandingan satu lawan satu dalam mendepani Umno-BN.
 
Mengambil suasana politik di Selangor, Iskandar bersetuju bahawa strategi satu lawan satu perlu diwujudkan demi memastikan kekalahan Umno-BN.
 
"Kalau ada tiga penjuru, BN akan menang. Untuk Selangor, sebagaimana kita lihat di Sungai Besar, perlu ada satu lawan satu. Di tempat lain saya tidak tahu, saya tidak mahu komen," kata ADUN Chempaka itu lagi.
 
 

Tiada ulasan: