Rabu, 16 November 2016

Bekalan minyak masak paket mencukupi

SINAR HARIAN
Datuk Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
 
 
PUTRAJAYA - Pengeluaran 60 juta paket minyak masak bagi paket satu kilogram secara berperingkat sepanjang November dijangka cukup untuk menampung keperluan pengguna di seluruh negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, pada 10 hari pertama November sebanyak 20 juta paket minyak masak satu kilogram dikeluarkan, 20 juta paket lagi pada 10 hari kedua dan bakinya pada 10 hari terakhir.

"Isu kekurangan minyak masak di pasaran sudah mulai reda berbanding minggu pertama November. Aduan yang diterima KPDNKK (mengenai isu minyak masak) juga sudah berkurangan iaitu 400 aduan sekarang berbanding hampir 1,000 aduan pada minggu pertama," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan KPDNKK di sini, hari ini.

Bermula 1 November lepas, harga minyak masak di dalam botol dijual mengikut harga ditetapkan pengeluar manakala harga bagi satu paket satu kilogram bahan itu kekal pada RM2.50.

Jelas Hamzah, masalah kekurangan minyak masak di pasaran timbul kerana kekeliruan antara pengilang dan syarikat pembungkusan semula, pembelian panik pengguna dan tindakan kumpulan tertentu yang menyorok minyak masak.

Ditanya mengenai cadangan menjual minyak masak paket satu kilogram di dalam botol, beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan secara terperinci.

Mengulas dakwaan harga gas petroleum cecair (LPG) yang akan naik RM7 setong mulai tahun depan yang menjadi viral di media sosial, Hamzah berkata, pegawai KPDNKK membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung perkara itu, semalam.

"KPDNKK mahu polis menyiasat pihak yang memulakan viral itu di media sosial," katanya.

KPDNKK dalam kenyataan sebelum ini memberi jaminan harga LPG masih kekal pada harga sedia ada.

Laporan media sebelum ini menyebut sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan rakyat sekali lagi akan terbeban apabila harga LPG turut naik tahun depan selepas kenaikan harga minyak masak 1 November lepas. - Bernama


Tiada ulasan: