Jumaat, 4 November 2016

Azmin sengaja tak beri ruang kepada Khalid jelaskan isu berkaitan ambilalih SPLASH

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat sengaja tidak memberi ruang kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan isu berkaitan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) yang masih tertunggak sehingga kini.
 
ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan juga kesal dengan sikap Azmin yang enggan membawa isu berkaitan penstrukturan semula air ini ke siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) sekiranya beliau benar-benar telus dan terbuka dalam hal ini.
 
"Masa Khalid ada di DUN (benarkan) beliau mengatakan perkara-perkara begitu supaya mudah Khalid balas apa yang didakwa. 
 
"Khalid tidak diberi peluang yang adil. Seharusnya beliau diberi peluang menerangkan perkara-perkara berkenaan. Semalam kita syorkan kepada Azmin bawa isu ini kepada SELCAT tetapi beliau tidak berani. 
 
"Jika benar ada perkara yang tidak betul berlaku, seharusnya (Azmin) menyahut saranan kami semalam untuk bawa hal ini kepada SELCAT dan Khalid dipanggil dan memberi penerangan sebenar kemudian bawa kembali laporan (siasatan SELCAT) itu kepada DUN," ujar Mat Nadzari ketika ditemui pemberita, hari ini.
 
Malah beliau juga mahu dakwaan Azmin semalam, bahawa Khalid berselindung di sebalik nilai sebenar pengambilalihan SPLASH dibawa ke siasatan SELCAT.
 
"Berkenaan surat-surat mengatakan tanpa pengetahuan DUN dan MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) yang dibangkitkan oleh Xavier Jayakumar, (kemudian) Azmin pula kata hal itu sudah bertulis, ada jawapan balas daripada SYABAS, (kerajaan) Pusat pun tahu... Hal itu berlainan sebagaimana didakwa oleh Khalid.
 
"Itu yang sepatutnya dibuat. Bukan hanya buat dakwaan politik di dalam DUN semata-mata hendak menutup dan mengelabui mata rakyat dalam hal ini. Mentang-mentang Khalid tidak ada pada hari itu, maka beliau seronok nak bercakap dan Khalid tidak beri peluang," tempelak Mat Nadzari lagi.
 
Azmin, ketika sesi penggulungan Bajet Selangor 2017 semalam mendakwa Khalid, ketika menjadi menteri besar, sengaja tidak mendedahkan nilai sebenar yang ditawarkan dalam pengambilalihan SPLASH.
 
ADUN Bukit Antarabangsa itu mendakwa Khalid sebenarnya menawarkan jumlah RM2.975 bilion untuk mengambilalih syarikat konsesi berkenaan. Malah bukan itu sahaja, Khalid juga didakwa gagal memaklumkan sebarang perkembangan urusan berkenaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
 
Sehingga kini kerajaan negeri, menerusi pentadbiran Khalid berjaya mengambil alih tiga syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS).
 
Hanya SPLASH sahaja yang belum dimuktamadkan meskipun tempoh rundingan pengambilalihannya berakhir pada Oktober lalu.
 
Sebelum ini Khalid menawarkan nilai pengambilalihan SPLASH hanya RM250.6 juta selepas mengambil kira liabiliti yang ditanggung syarikat itu, namun ditolak syarikat konsesi itu dengan menegaskan nilai syarikatnya berjumlah RM2.5 bilion setakat 31 Disember 2013 dan jika dikira tempoh konsesi 16 tahun yang perlu dilupus, syarikat itu bernilai RM3.9 bilion.
 
Sebaik sahaja Azmin dilantik menggantikan Khalid, ADUN Bukit Antarabangsa itu dikatakan hampir bersetuju untuk membayar jumlah pampasan yang dituntut SPLASH iaitu RM2.7 bilion, peningkatan sebanyak RM2.45 bilion daripada tawaran asal.
 
Khalid menyifatkan sebagai satu pembaziran wang rakyat jika kerajaan negeri pimpinan Azmin akur dengan jumlah yang dituntut SPLASH itu.
 
 

Tiada ulasan: