Rabu, 2 November 2016

Adakah Riza Aziz dalam kategori golongan VVIP negara?

THE MALAYSIAN MIRROR


riza_aziz_wolf_wall_street_premieres_nyc_part_xrfmdki_kscl_pdkhwe 

Saya ada bertanya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said mengenai kos setiap perjalanan jet peribadi bernombor pendaftaran A6-CJE yang disewa oleh kerajaan Malaysia dan digunakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor untuk ke Turki dalam bulan Mei 2016.

Jawapan yang diberikan oleh Menteri adalah bukan satu jawapan dan mengelak dari menjawab dengan berselindung di sebalik nama Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan peraturan penggunaan pesawat rasmi Kerajaan.

Malah, jawapan ini adalah jawapan yang sama yang diberikan setip kali ada soalan mengenai kos dan penggunaan jet peribadi yang ditanggung rakyat.

Pendedahan bahawa anak tiri (Riza Aziz) dan anak (Ashman Najib) Dato’ Seri Najib Tun Razak menaiki jet peribadi kerajaan dalam rangka lawatan Perdana Menteri ke China menimbulkan beberapa soalan berkaitan seperti berikut:

1. Jika jet peribadi kerajaan adalah untuk kegunaan VVIP Negara, adakah ini bermakna selain dari isteri Perdana Menteri, kini anak dan anak tiri Perdana Menteri juga telah diiktiraf sebagai VVIP Negara sehingga mereka boleh menaiki jet peribadi kerajaan?

2. Jika mereka bukan VVIP Negara, apakah peraturan kerajaan mengenai penggunaan jet peribadi kerajaan? Siapa yang layak dan boleh menaiki? Adakah Ahli Parlimen seperti kami pun boleh menaiki jet peribadi itu?

3. Jika mereka bukan VVIP Negara, adakah mereka membayar kos menaiki jet peribadi itu? Berapa yang mereka bayar setakat ini setiap kali mereka menaiki jet peribadi kerajaan?

Peraturan-peraturan mengenai penggunaan jet peribadi di negara lain adalah jelas; iaitu ahli keluarga pemimpin kerajaan perlu membayar kos yang sama dengan tiket penerbangan komersil setiap kali menaiki jet peribadi kerajaan. Ini amalan yang digunakan termasuk oleh Michelle Obama sendiri.

Oleh itu, saya ingin menuntut supaya Riza Aziz dan Ashman Najib membayar kembali kos yang sama dengan tiket penerbangan komersil setiap kali mereka menaiki jet peribadi kerajaan, termasuk yang terbaru ke China.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tiada ulasan: