Khamis, 20 Oktober 2016

Zeti dilantik ahli panel penasihat antarabangsa AIIB

Oleh Bernama
 
 


Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai ahli panel penasihat antarabangsa Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).

Zeti, yang disenaraikan sebagai ketua bank pusat terbaik dunia pada 2009 oleh majalah Global Finance itu bersara pada April selepas 16 tahun menerajui BNM.

Dalam kenyataan, AIIB mengumumkan Zeti akan menyertai 10 ahli utama yang lain termasuk bekas Perdana Menteri Pakistan Shaukat Aziz, bekas Menteri Kewangan Sweden Anders Borg, bekas Perdana Menteri Jepun Yukio Hatoyama dan Setiausaha Agung Yayasan Global Steve Howard.

Selain itu, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Strategi dan Kewangan Korea Selatan, Dr Oh-Seok Hyun, bekas Menteri Kewangan Nigeria dan bekas Pengarah Urusan Bank Dunia Dr. Ngozi Okonjo-Iweala. Bekas Menteri Kewangan Timor-Leste Emilia Pires, bekas Duta Amerika Syarikat, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Strategic Associates Paul Speltz, bekas Ketua Ekonomi di Bank Dunia Lord Nicholas Stern dan bekas Ketua Eksekutif Hong Kong SAR Tung Chee-Hwa.
AIIB berkata,mesyuarat pertama panel penasihat itu diadakan di Beijing hari ini.

"Panel tersebut menyediakan nasihat yang adil, objektif dan bebas kepada Presiden, membolehkan bank tersebut meraih manfaat daripada pengalaman dan kepakaran ahli-ahli panel," katanya.

Pada mesyuarat tersebut, ahli-ahli panel membincangkan mengenai keadaan ekonomi global dan implikasinya kepada operasi bank, keperluan untuk menggalakkan infrastruktur hijau dalam agenda global baharu dan kepentingan untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam infrastruktur di rantau ini.

Pada akhir mesyuarat, Presiden AIIB Jin Liqun berkata: "Ia satu penghormatan yang besar menghimpunkan kumpulan pemimpin peringkat antarabangsa yang berpengalaman untuk memberi nasihat mengenai pembangunan strategi bank itu.

"Saya tidak mempunyai keraguan bahawa nasihat, yang disediakan oleh panel, akan membantu membentuk pembangunan bank itu pada tahun-tahun akan datang.

"Di samping itu, kumpulan duta akan membantu mempromosikan bank baharu kita kepada dunia."
AIIB, sebuah bank pembangunan antarabangsa pelbagai hala, ditubuhkan pada 25 Dis, 2015, dengan modal permulaan sebanyak AS$100 bilion, satu juta saham dan modal berbayar permulaan sebanyak AS$20 bilion.-BERNAMA


Tiada ulasan: