Rabu, 5 Oktober 2016

YDPA tidak yakin dengan tuntutan Deklarasi Rakyat, kata Dr Mahathir


Post Pic
 
 
 
PUTRAJAYA: Yang Dipertua Agong (YDPA) tidak yakin dengan gerakan Deklarasi Rakyat (DR) yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, sebagai perdana menteri justeru membuat ketetapan menolak tuntutan itu.
  
Demikian penjelasan, penaja deklarasi itu, Tun Mahathir Mohamad ketika ditanya pemberita apakah maklum balas YDPA berhubung perkara itu, selepas beliau dan pengikutnya mengadap Tunku Abdul Halim Mu'adzam Shah, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, 16 September lalu.
 
"Agong ajukan soalan kepada saya tentang peruntukan undang-undang dan perkara lain, saya jelaskan tetapi di akhir perbincangan saya tidak dapat yakinkan Baginda untuk bertindak (kepada Datuk Seri Najib)," katanya dalam satu sidang media hari ini di Yayasan Kepimpinan Perdana.
 
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata YDPA jelas akan niat Deklarasi Rakyat itu dibuat malah bersetuju usaha yang digerakkannya tidak bertentangan dengan Perlembangaan Persekutuan.
 
"Apa yang kami inginkan tidak boleh diteruskan, kenapa saya tidak boleh beritahu. Mungkin sebab Agong fikir baginda tidak ada kuasa. Tapi kami telah tunjukkan bahawa baginda ada kuasa," katanya lagi.
 
16 September lalu, Dr Mahathir mengadap YDPA dan menyerahkan 1.2 juta tandatangan dalam Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib meletak jawatan, dengan ditemani bekas Naib Pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
 
"Agong tidak kata bahawa langkah Deklarasi Rakyat ini bercanggah dengan Perlembangaan Persekutuan. Apa yang kami kemukakan adalah kami tidak akan lalukan ini jika proses undang-undang tidak berjalan di Malaysia. 
 
"Saya terangkan kepada Agong, kita sepatutnya mengadakan undi tidak percaya tapi dia (Najib) punya majoriti, jadi kami tidak boleh kemukakan undi tidak percaya," jelas beliau.
 
Malah beliau turut mengutuskan sepucuk surat kepada Majlis Raja-raja (MRR) bagi mempertimbangkan langkah Deklarasi Rakyat untuk dipertimbangkang oleh Majlis Raja-raja bakal mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-242 pada 11 Oktober depan.
 
"Kita akan tunggu sehingga mereka (Majlis Raja-raja) buat keputusan lepas itu kita akan fikir tentang apa yang akan kita uruskan teruskan usaha kita untuk singkirkan kerajaan Najib," katanya lagi.
 
Najib sebelum ini berkata YDPA sudah menjelaskan kepada Dr Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Ini kerana jelas Najib, deklarasi yang dibuat PPBM tidak mengikut perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan.
 
 

Tiada ulasan: