Isnin, 17 Oktober 2016

WARISAN PIMPINAN SHAFIE APDAL MAMPU MENGGONCANG NAJIB

shahbudindotcom


Sebagaimana yang kita sedia maklum, permohonan pertukaran nama, logo dan perlembagaan parti baru  yang ditunjangi oleh bekas Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal telah pun diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan atau ROS, hari ini.

Parti baru yang kini diambil alih oleh Shafie itu dikenali sebagai Parti Warisan Sabah atau Warisan, manakala nama sebelumnya ialah  Parti Pertubuhan Warisan Sabah yang didaftarkan sejak 2013 yang lalu.

Dengan beberapa pemimpin PKR dan DAP keluar parti sebelum ini kerana ingin bersama-sama  parti baru yang dipimpin oleh Shafie, Warisan kini secara automatik sudah mempunyai dua Ahli Parlimen dan tiga Adun bersamanya pada hari pertama diluluskan oleh ROS.

Mereka ialah Shafie selaku Ahl Parlimen Semporna dan Daryl Leiking, Ahli Parlimen Penampang, manakala tiga Adun terbabit ialah Junz Wong, Peter Anthony dan Dr Jaujan Sambakong.

Dalam masa yang sama, bekas pemimpin PKR Sabah, Lajim Ukin juga sedang dalam perancangan menubuhkan sebuah parti politik baru bersama para penyokongnya.

Perkembangan ini jelas memperlihatkan bahawa Warisan akan mengetuai usaha menjadikan motto "Sabah untuk orang Sabah" sebagai kenyataan di negeri itu.

Sudah tentu, selain berusaha mengambil alih pentadbiran Sabah yang kini dikuasai oleh UMNO, Warisan bersama beberapa parti lain pasti juga mahu meleburkan kedudukan "simpanan tetap"  negeri itu kepada BN.

PPBM sebagaimana kenyataan di bawah amat mengalu-alukan kewujudan Bersatu dan berdasarkan kedudukan Shafie yang senasib dengan Muhyiddin hanya kerana menegur Najib berkaitan 1MDB, kebarangkalian kedua-dua parti itu saling bekerjasama memang sudah dijangkakan.

Berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PPBM yang baru dilantik, Dr. Shahruddin Md Salleh mengenai Warisan:-

KENYATAAN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA SEMPENA KELULUSAN PENUBUHAN PARTI WARISAN SABAH

1.Hari ini satu lagi peristiwa penting telah dilakar dalam sejarah politik tanah air apabila Parti Warisan Sabah diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Tahniah diucapkan kepada YB Datuk Seri Shafie Apdal dan rakan-rakan seperjuangan yang telah berjaya menyediakan satu lagi pilihan kepada rakyat Sabah untuk menzahirkan sebuah wadah bagi menjamin masa depan negeri dan negara tercinta. 

2. Parti Pribumi Bersatu Malaysia turut teruja dengan kelahiran Parti Warisan Sabah ini kerana ia bakal membina perubahan positif dalam lanskap politik negara yang sedang dibadai gelombang ketidakyakinan yang menggunung tinggi.

3. Kita yakin bahawa perjuangan Parti Warisan Sabah mempunyai asas perjuangan yang selari dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Justeru kami tidak sabar untuk menghulurkan tangan dan membina jambatan persahabatan yang kukuh bagi mencorak masa depan negara yang lebih gemilang.

4. Marilah kita sama-sama bersatu tenaga untuk meroboh tembok keangkuhan yang dibina oleh Datuk Seri Najib dan menggantikannya dengan sebuah kerajaan yang memegang  kuat pada nilai-nilai murni yang berpaksikan sifat amanah, keikhlasan, kejujuran, keadilan dan kesaksamaan.

5. Dengan bersatu kita pasti mampu membuat perubahan besar yang akan diingati buat selama-lamanya.

BERSATU BERAMANAH BERMARUAH

Datuk Dr Shahruddin Md. Salleh
Setiausaha Agung
Parti Pribumi Bersatu Malaysia.


Tidak kira berapa banyak parti yang ditubuhkan, yang penting ialah semuanya mahu menolak UMNO dan BN serta sedia saling berpadu tenaga dan bekerjasama bagi tujuan itu.

Berdasarkan sejarah politik Sabah yang sudah beberapa kali bertukar parti pemerintah sebelum ini, dengan wujudnya Warisan, kalau pun tidak mampu menjatuhkan kerajaan negeri, kemampuan mengurangkan beberapa kerusi Parlimen BN  yang selama ini dianggap "simpanan tetap", turut memberi makna yang tinggi kerana ia lebih menyumbang kepada hilangnya kuasa Najib sebagai Perdana Menteri. 


Tiada ulasan: