Khamis, 20 Oktober 2016

WARISAN ambil sikap berkecuali dalam usul pinda bidang kuasa Mahkamah Syariah

Oleh Shuhaniza Said & Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: WARISAN mengambil pendekatan berkecuali dengan tidak akan mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang bakal dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu buat masa ini lebih mengutamakan hak autonomi dan kebajikan rakyat Sabah terlebih dahulu seterusnya mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.
 
"Saya tak akan undi.. sama seperti pendirian (pemimpin) Sarawak. Kerana apa yang lebih penting adalah keperluan rakyat Sabah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen sebentar tadi.
 
Sebelum ini, ahli Parlimen dari Sarawak menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyokong RUU yang tersenarai dalam aturan mesyuarat pada sidang dewan kali ini.
 
Perkara itu dinyatakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing bahawa kesemua 25 ahli Parlimen dari negeri itu sebulat suara tidak menyokong RUU Akta 355.
 
Sebelum itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang juga pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB berkata, PBB tidak akan menyokong rang undang-undang dibentang presiden PAS itu.
 
Shafie dalam pada itu mendedahkan ramai pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) berminat untuk menyertai WARISAN.
 
"Alhamdulillah.. ramai ada, tak perlu cakap besar. Apa yang penting adalah hasil. Orang cakap kita parti baru, tak apa. Kita serah dengan Tuhan. Kita kerja, kita yakin rakyat boleh menilai. 
 
"Banyak (pemimpin Umno datang jumpa). Banyak jumpa biasalah kita pembangkang. Orang BN pun kita jumpa. Ada yang nak keluar dari akar umbi," katanya ringkas namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
 
Pendaftar Pertubuhan (ROS) awal minggu ini meluluskan permohonan Shafie untuk mengambil alih Parti Pembangunan Warisan Sabah (PPWS) dan menukarnya kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN).
 
Shafie mengambil alih parti itu selepas bertindak keluar Umno ketika dalam tempoh penggantungan keahlian berikutan kerap mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu derma RM2.6 bilion.

Tiada ulasan: