Sabtu, 15 Oktober 2016

Wakil rakyat Muslim tak payah layan Harussani, kata Zairil

 
Beliau turut memetik kenyataan mufti Pulau Pinang yang Akta 355 bukan undang-undang Tuhan.


Harussani


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari menolak pengisytiharan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria yang ahli Parlimen wajib mengundi rang undang-undang hudud yang akan dibahaskan pada sidang Parlimen akan datang.

Zairil berkata pandangan Harussani itu bukan muktamad berhubung perkara itu.

“Ada mufti lain yang berpandangan lain. Harussani ada hak untuk menyuarakan pendapatnya, tetapi ia tidak mengikat sesiapa,” katanya kepada FMT.

Zairil turut memetik pandangan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor.

Wan Salim sebelum ini berkata Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bukan “undang-undang Tuhan”.

Harussani sebelum ini dalam kenyataannya merujuk cadangan pindaan terhadap undang-undang itu yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi rang undang-undang (RUU) persendirian dan berkata beliau mahu melihat ia dilaksanakan di seluruh Malaysia.

Harussani menyeru semua ahli Parlimen beragama Islam di seluruh negara menyokong RUU itu, berkata ia “wajib” ke atas Muslim untuk berbuat demikian.

Bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dalam reaksinya menyifatkan Harussani sebagai
pemimpin Islam yang emosi dan jahil.

“Beliau belum pun baca rang undang-undang itu, jadi bagaimana beliau tahu apa isi kandungannya? Rang undang-undang belum disediakan pun.

“Belum ada rang undang-undang lagi, hanya usul. Menteri perlu menjelaskan usul itu.

“Jika usul itu hendak memperkenalkan undang-undang Islam, maka Parlimen perlu menolak kerana undang-undang Islam bukan dalam bidang kuasa Parlimen. Ia perkara berkaitan sesebuah negeri,” kata bekas menteri Umno itu kepada FMT hari ini.

RUU dibawa Hadi itu dilihat sebagai cubaan untuk membolehkan pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan, negeri ditadbir PAS.

Tiada ulasan: