Umno
Kelantan akan mengadakan konvensyen tahunan pada 15 Oktober ini. Sekali
lagi tema yang di pilihan "PRU14 Kelantan Milik BN? Jikalau tidak salah
tajuk ini juga menjadi tema konvensyen tahun lepas.
Tajuk
atau tema itu menampakkan UBN Kelantan optimis sekali akan membentuk
kerajaan selepas Piraum 14 kelak. Dengan memberi fokus kepada iltizam
itu mungkin ia mampu membangkitkan semangat ahli, penyokong dan rakyat
Kelantan untuk menukar tampuk kerajaan Kelantan. Tema itu bisa mengasak ahli-ahli dan
penyokong UBN agar bergerak ke arah menjadi kerajaan di Kelantan.
Apakah unjuran yang diletakkan oleh UBN sehingga ia yakin akan menumbangkan kerajaan Pas Kelantan? Tentu UBN ada strategi dan rahsia tersendiri dalam perkara ini. Ia menarik untuk kita jenguk melihat kemungkinan ini dengan membuat perkiraan dari luar kerahsiaan parti berkenaan. Apakah harapan UBN itu sebuah realiti atau pun ia masih merupakan igauan berpanjangan?
Ketiadaan Nik Aziz dan Husam.
Ketiadaan Nik Aziz dan Husam untungkan UBN. |
Lama
sebelum ini UBN mengimpikan akan menawan Kelantan selepas Pas kehilangan kepimpinan spiritual
mereka, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Para pemimin UBN yakin kalau Pas tidak
lagi dipimpin oleh murabbi ummah itu mereka akan mampu untuk menewaskan
Pas. UBN percaya kekuatan Pas Kelantan bukan kepada pencapaian dalam kerajaan
tetapi kerana ketokohan Nik Aziz sebagai tokguru dan ilmuan terulung. Ketaksuban kepada Nik Aziz mengemaskan undi kepada Pas.
Ketokohan
Nik Aziz dalam bidang itu tidak tertanding oleh UBN. UBN tidak berjaya
memacakkan seorang yang setanding dengan bekas Mursyidul Am itu.
Walaupun UBN telah berusaha mengirimkan beberapa tokoh agama ke Kelantan bagi
menyaingi pengaruh Nik Aziz, namun ia tetap tidak berhasil. Tokoh-tokoh itu
malangnya terkulai begitu sahaja mati sebelum dipanggang.
Beberapa
pensiun dari Pusat Islam atau kini dikenali dengan Jabatan Hal Ehawal Kemajuan
Islam (Jakim) seperti Zainal Abidin Abdul Kadir, (bekas pengarahnya) Che
Min Che Mat, Mustapa Toib dan lain-lain pernah dihantar untuk menyaingi
pengaruh Nik Aziz tetapi tidak berjaya. Malahan tokoh-tokoh itu membuat
cemar pula kepada UBN dengan sikap sarkastik mereka terhadap Nik Aziz.
UBN sangat menyedari akan hal
ini. Tokoh-tokoh profesional dari berbagai-bagai bidang tidak berjaya
mengatasi kehebatan Nik Aziz. Antara tokoh-tokoh profesional yang
dipertaruhkan UBN termasuklah Awang Adek Husin, bekas naib Gebenur Bank
Negara, Apandi Ali, serta Mustapa Mohamed sendiri yang pakar dalam
bidang ekonomi.
Kini
Nik Aziz sudah pun lebih setahun meninggalkan dunia dan menyerahkan
khazanah kerajaan Pas Kelantan kepada Ahmad Yakob. Ahmad dianggap tidak
setanding dengan Nik Aziz. Beliau hanya seorang ustaz yang kerjayanya
sebagai guru tanpa apa-apa ketrampilan yang spesifik. Kemunculan Ahmad dalam Pas tidak sama dengan kemunculan
Nik Aziz, yang sebelum dibawa turun ke Kelantan (1982) Nik Aziz sudah mencipta
nama dalam gelanggang Pas sebagai Ketua Dewan Ulama.
Malahan
kehadiran Ahmad itu sendiri sebagai TMB kemudian menjadi MB adalah atas
nasib kerana ketika itu Pas berhadapan dengan TMB sedia ada Abdul Halim Abdul Rahman yang
dikatakan cuba mengkhianti kepimpinan tokguru dengan mahu merampas kerusi MB. Ahmad adalah penanggung
jawatan itu menerusi nasib bukan karismatiknya ditambah dengan politik khianat dalam Pas.
Justeru
dalam perkiraan UBN Ahmad bukan ancaman atau pokok keramat kepada
mereka. UBN
tidak merasa "seriau" dengan Ahmad. Bahkan Ahmad boleh dijinakkan dengan
berjanji untuk mengatasi masalahnya. Sebaliknya orang yang digeruni UBN
ialah Husam Musa exco kanan yang dicanang bakal mengambil alih
kepimpinan kerajaan Kelantan daripada Nik Aziz. Kalau MB Kelantan kini dipegang Husam mungkin konvensyen Umno ditukar kepada mauduk lain?
Ini
kerana UBN dapat merasakan Husamlah orang yang menjana politik Kelantan
dan antara pemain utama dan arkitek menjadikan kerajaan Pas Kelantan
sebuah kerajaan mirip Islam progresif. Beberapa projek atau idea
ditetaskan Adun Salor itu khasnya dalam soal pembangunan sosial, ekonomi
dan kebajikan rakyat disenangi oleh orang ramai yang sekaligus menjadi
beliau popular.
Sikap rakyat Kelantan.
Apa
yang berlaku itu kemujuran kepada UBN kerana perubahan itu
yang kesekian lama dinantikan. Sebenarnya bukan itu sahaja fenomena yang menghalang UBN
untuk tawan Kelantan. Sikap rakyat Kelantan yang setia dengan Pas dan
sukar untuk melupainya menyebabkan UBN payah untuk menguasai Kelantan.
Kelantan dikenali sebagai kubu Pas sejak tahun 1959.
Dalam
neraca politik orang Kelantan mereka menimbang dua parti sahaja, kalau
tidak Umno, Pas. Sebab itu kedua-dua parti itu sudah bertukar ganti
memerintah Kelantan. Dalam membuat pemilihan dan pertimbangan ini mereka
melihat kepada beberapa faktor berkaitan dalam kedua parti itu.
Antaranya ialah komitmen dan ketokohan (saksiah) pemimpin parti-parti berkenaan.
Soal "deliver" sesebuah kerajaan itu tidak begitu penting buat mereka
kerana sikap orang Kelantan yang qanaah menerima apa sahaja yang ada. Didikan
dan dogma agama yang fanatik menjadikan mereka bersikap demikian. Rela dan redha.
Dari
segi komitmen yang dilihat ialah untuk melaksanakan Islam di Kelantan.
Mereka mahu Kelantan yang dijolok dengan nama Serambi Makkah dikekalkan.
Walaupun kehidupan dan sistem digunapakai tidak mencerminkan Islam 100%, tetapi
cukup kalau nama itu dipertahankan. Mereka sangat obses dengan perkataan
Islam. Misalnya Kota Bharu digelar Bandaraya Islam tetapi dari segi pencapaian dan praktikalnya jauh "jelek"
Mengenai
tokoh atau latar pemimpin yang dilihat ialah keperibadian dan latar belakang. Jika
seseorang itu berkelulusan agama, berpakaian budaya Arab, juban dan
serban, ada janggut walaupun tak ada misai, menjadi minat mereka
walaupun keperibadian tokoh berkenaan boleh dipertikaikan.
Mereka sangat mempercayai kepada gambaran saksiah demikian kerana
mereka kuat dipengaruhi persekitaran keagamaan. Watak-watak dan peribadi
demikian disumbat ke dalam kepala mereka sebagai ahli jannah. Walhal
rupa bentuk itu tidak merupakan sifat diterangkan agama dan jaminan ahli
syurga.
Itulah
dua perkara yang diperhati oleh rakyat Kelantan di samping itu persepsi
Pas sebagai parti Islam manakala Umno sebagai parti sekular menjadi
"neraca budi" buat mereka walaupun hakikatnya tidak begitu.
Nah,
hari ini sesuai dengan perubahan masa dan anjakan zaman, tanggapan
begitu sudah tidak ada lagi. Rakyat Kelantan atau pengundi muda kini
sudah banyak berubah dan mereka mempunyai kompas tersendiri. Bagi mereka
warna pakaian dan hanya
mendengar janji di atas kertas bukan menjadi perhitungan mereka sangat.
Generasi
atau pengundi hari ini mahu melihat kenyataan atau hasil yang dibawa. Maka beberapa perubahan ini memberi kelabaan kepada UBN.
Ahmad ubah pendekatan politik kerana terdesak. |
Dan
apakah kombinasi di antara Pas kehilangan tokoh utama dan perubahan
persepsi rakyat Kelantan kepada politik serta kemampuan UBN melahirkan
watak seperti Mustapa itu akan mengutungkan UBN, atau pun ia berkeadaan
status quo? UBN terus tergua-gai dengan mimpi indahnya?
Kelemahan kerajaan Pas.
Selain
daripada keadaan itu apa juga yang boleh menyebabkan rakyat Kelantan
berubah pandang dari Pas kepada UBN ialah berhubung kelemahan kerajaan
Kelantan dalam pentadbiran. Kerajaan Pas Kelantan relatif gagal membawa
perubahan dari segi pembangunan material di Kelantan. Beberapa aspek
pentadbiran masih lagi menjadi pendebatan dan polemik tanpa kesudahan
sehingga memualkan.
Kegagalan
kerajaan menyelesaikan masalah air, jalan raya, sampah sarap serta
mengatasi masalah mangsa banjir, adalah antara faktor yang meletakkan
kerajaan Pas Kelantan sebagai gagal, atau tidak berkeupayaan. Gara-gara
itu jugalah Ahmad telah mengambil uslub baharu Pas dengan berbaik-baik
dengan Putrajaya untuk mendapat baksis bagi dilaksanakan projek untuk
rakyat. Dan usaha itu berjaya atas bantuan Mustapa Mohamed.
Kalau pun ada perubahan hanya
dalam bidang kerohanian. Itu pun setakat slogan atau lambang (bill
board) atau pun pandangan luaran sahaja.
Dari segi hakikatnya masih jauh. Contoh untuk melaksanakan hukum Hudud
kerajaan Pas Kelantan masih terkial-kial dan tergagap-gagap dan menangih
simpati Umno.
Apa lagi dari aspek
pembangunan material Pas gagal, sama ada ia gagal kerana tekanan dan
diskriminasi Putrajaya atau sebaliknya, pokoknya gagal. Aset semulajadi
milik Kelantan seperti hutan, bahan meneral, manusia yang rajin dan
gigih dan sebagainya gagal dijana dengan baik kerana tiada kepakaran.
Ekoran
kegagalan ini juga menyebabkan Kelantan berhadapan dengan masalah
kewangan berpanjangan. Tanpa menguar-guarkan kepada rakyat kerajaan
Persekutuan secara diam-diam membantu pentadbiran kerajaan Kelantan
terutamanya dua tahun ke belakangan ini. Tanpa bantuan itu sudah pasti Kelantan sudah bankrup wal lingkup.
Merumuskan
mengenai masalah dihadapi Pas Kelantan kini yang menatijahkan ia membuka jalan
kepada UBN untuk menguasai negeri itu seperti mana berikut:
- Ketiadaan Nik Aziz sebagai tokoh kerohanian atau pokok keramat yang juga dianggap menjadi wali penjaga kerajaan Pas Kelantan.
- Ketiadaan Husam Musa yang menjadi master mind politik Pas dan ikon kepada anak-anak muda.
- Pas kini sudah berpecah dua apabila tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah).
- Kelemahan kerajaan Kelantan dalam pentadbiran gagal untuk memberi keyakinan kepada pengundi yang kerajaan Pas mampu membawa perubahan sesuai dengan perkembangan semasa.
- Perubahan pendekatan politik Umno dibawah kepimpinan Mustapa yang menjalinkan ukhwah bersama Pas membuka dimensi baharu di kalangan pengundi khasnya pengundi muda.
Itulah
faktor-faktor besar yang membuka ruang kepada UBN mengambil alih
kerajaan Kelantan. Faktor itu ditambah pula dengan kehadiran tokoh UBN
Kelantan yang humble dilihat berjiwa rakyat Mustapa Mohamed.
Selepas Tengku
Razaliegh Hamzah memimpin Kelantan dan berjaya mengambil alih kerajaan
Kelantan daripasa Pas tahun 1978, Mustapalah dinilai berpeluang mencatat
rekod itu. Tahun 2008 semasa Mustapa memimpin Umno Kelantan parti itu
sudah hampir-hampir untuk merampas Kelantan dengan kekurangan dua kerusi
sahaja.
Tengku Razaleigh Hamzah |
Mungkin
ada yang cuba hendak mencari justifikasi bagi menidakkan peluang UBN ini
dengan menyebut bahawa Umno juga kini berpecah dengan wujudnya PPBM.
Dalam konteks di Kelantan kehadiran PPBM tidak memberi kesan besar
kepada UBN. Sehingga kini PPBM masih belum dilembagakan di Kelantan
tidak seperti Amanah yang sudah mula membuat gerakan untuk menggantikan
Pas.
Soalnya apakah dengan suasana itu UBN akan berjaya untuk takluk Kelantan dalam Piraum akan datang?
Selain perkembangan muasir
ini memihak kepada UBN, tetapi kata kuncinya terletak ditangan UBN
sendiri. Sejauh manakah kesungguhan dan keazaman para pemimpin parti itu
untuk membentuk kerajaan di Kelantan. Pintu terbuka dan suasana
kondusif bagi UBN tidak semestinya ia seacara automatik UBN akan
berjaya. Masih banyak perkara yang perlu ditinjau dan dikaji.
Misalnya untuk memastikan pengundi muda memberi perhatian kepada UBN,
parti itu perlu mengemukakan tawaran-tawaran menarik yang munasbaah buat
mereka. Mungkin anak muda tidak mahu mendengar projek mega seperti
keretapi laju, pembesaran lapangan terbangan atau lebuh raya 10 lorong,
tetapi cukup apa-apa tawaran semasa untuk mereka menerusakan kehidupan.
Perkara paling mendesak ialah pekerjaan. Anak muda perlu perkara yang
boleh "makan la"
Sehingga ini belum ada apa tawaran daripada UBN. Apakah ia bergerak
secara senyap? Ia akan dapat disaksikan dalam manifesto nanti.
Sebenarnya tawaran dalam manifesto bukan sesuatu yang merujakan lagi.
Yang paling baik ialah UBN cuba laksanakan sekarang juga sebelum pilihan
raya.
Begitu juga dari segi gerak kerja, parti itu masih belum tampak. Hari
ini tidak ada apa-apa program berskala besar di Kelantan yang membentuk
gelombang baharu ke arah itu. Yang tampak ialah kegiatan parti dilakukan
di peringkat bahagian atau kawasan masing-masing.
Di
peringkat bahagian pun hanya beberapa ketua bahagian sahaja yang aktif dan berinisiatif
menjalankan kegiatan parti di bahagian masing-masing yang berbentuk
sosial dan menyalurkan kebajikan kepada rakyat. Antara bahagian yang
dominan ialah Rantaun Panjang. Kerajinan Abdullah Md Yassin, membawa
beberapa menteri ke kawasan itu dan beliau sendiri berjumpa dengan
menteri, memberi gambaran perkembangan Umno Rantau Panjang meriah.
Ramzi Abdul Rahman |
Ketua
bahagian lain ialah Ramzi Abdul Rahman di Kuala Krai. Kejayaan paling
bermakna dan akan dikenang di Kuala Krai ialah pembinaan hospital
bercirikan hospital dalam taman di Kuala Krai bernilai lebih RM286 juta. Hospital
itu katanya akan menyediakan 200 pakar yang memberi keutamaan kepada penduduk di tiga daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli. Perwujudan hospital ini sudah pasti menjadi mercutanda peribadi buat Ramzi.
Lain-lain
ketua bahagian yang aktif, tentulah di Jeli dimana Mustapa sendiri
sebagai ketua, di Machang yang diketuai Jazlan Yacob yang juga timbalan
menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Di
lain-lain kawasan walaupun ada projek dan aktiviti tetapi ia tidak
setara dengan bahagian-bahagian disebutkan tadi. Kalau pencapaian UBN di
Kelantan berpandukan kepada kegiatan di bahagian, ini menyebabkan UBN
masih
belum mampu untuk menguasai Kelantan kerana berapalah sangat kerusi DUN
di bahagian berkenaan.
Ia
mungkin akan menjadi kenyataan kalau aktiviti sosial dan kebajikan
rakyat, menyedia kemudahan asas dilakukan bukan berdasarkan lokaliti
tertentu khasnya yang diwakil oleh ketua yang aktif dan kreatif atau
berjawatan menteri, tetapi
sebaliknya dilaksanakan merata di seluruh Kelantan melibatkan bukan
sahaja ahli Umno tetapi seluruh rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan