Isnin, 10 Oktober 2016

Umno diminta ambil tindakan terhadap Jamal

Umno diminta ambil tindakan terhadap Jamal
Fitri (tengah) ketika ditemui pada sidang media di sini, hari ini.


IPOH - Umno perlu mengambil tindakan terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang didakwa menjadi dalang kepada provokasi semasa Konvoi Bersih 5 di Sabak Bernam, 8 Oktober lalu.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Mohd Fitri Asmuni berkata, tindakan tegas perlu dikenakan bagi menjadi pengajaran dan tauladan kepada ahli Umno lain supaya tidak melakukan perkara sama.

"Dalam salah satu manifesto BN pada 2013 adalah memberi jaminan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam. Jadi, insiden yang berlaku ini jelas bertentangan dengan apa yang dijanjikan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dibaling telur angkara masuk kawasan lawan]

"Selaku ketua Umno bahagian dan ketua yang menggerakkan kumpulan baju merah ini, kami mahu tindakan tegas diambil atas kebiadapan yang telah dilakukannya terhadap orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Wisma Amanah Perak, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Pemuda Amanah Perak, Safarizal Saleh dan Pengarah Pilihan Raya Pemuda Amanah Perak, Saqif Ansorullah.

Terdahulu, insiden di Sabak Bernam itu dilaporkan berlaku melibatkan seorang pemuda bermotosikal berkuasa tinggi memakai baju Bersih 5 yang diserang segelintir penyokong kumpulan baju merah.

Menurut beliau, pihaknya bukan sahaja kesal dengan provokasi dan serangan fizikal yang berlaku malah mempersoalkan tindakan Jamal yang menganggu perjalanan konvoi Bersih 5 itu.

"Kita tak faham apa tujuan mereka. Tujuan kita adakan konvoi dan seterusnya perhimpunan aman ini adalah untuk menuntut pembersihan dalam sistem pilihan raya. Ia juga bebas dilakukan mengikut lunas Perlembagaan," katanya.

Fitri berkata, beliau juga tidak menolak rata-rata ahli dalam kumpulan baju merah itu merupakan penyokong Umno berdasarkan beberapa bukti foto dan video yang telah tersebar di laman sosial.

"Walaupun ada menteri seperti Nazri Aziz, Khairy Jamaluddin menafikannya, kita percaya rata-rata daripada mereka adalah ahli Umno sepertimana bukti yang kita ada dan yang telah diviralkan," katanya.


Tiada ulasan: