Isnin, 10 Oktober 2016

Tubuh ‘Majlis Pengangkutan’ buang masa, kata pengusaha teksi

 
Sebuah persatuan pemandu teksi mempersoalkan penubuhan MPN kerana sudah wujud 2 badan yang masih tidak dapat menjalankan tugas dengan berkesan.


Liow-Tiong-Lai


PETALING JAYA: Pengusaha pengangkutan awam hari ini mempersoalkan keperluan menubuhkan Majlis Pengangkutan Nasional (MPN) yang bakal dipengerusikan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

MPN akan berperanan membantu menyelesaikan masalah dihadapi di setiap negeri.

Bagaimanapun, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) berkata kewujudan pihak berkuasa sedia ada seperti Jabatan Pengangkutan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih belum memberikan kesan yang diharapkan.

“Sedangkan dengan bantuan SPAD dan JPJ pun sudah haru biru industri pengangkutan, ini ditambah lagi sebuah badan yang kononnya dapat membaik pulih isu berkaitan pengangkutan yang dihadapi di setiap negeri,” kata Presiden PERS1M, Kamaruddin Mohd Hussain, kepada FMT.

Secara berseloroh, beliau turut menawarkan diri mempengerusikan MPN.

“Buat apa habis duit kerajaan tubuhkan itu ini. Kita perkasakan apa yang ada dahulu. Betulkan masalah sedia ada, baru fikirkan buat penambahan badan pertubuhan baru,” katanya.

MPN ditubuhkan sebagai platform membincang, mengkaji dan menyelasaikan isu berkaitan pengangkutan yang dihadapi di setiap negeri membabitkan kementerian dan semua agensi berkaitan di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali kesal kerana penubuhan MPN tidak mengambil kira pendapat mereka yang berkepentingan dalam industri pengangkutan awam.

“Sebagai salah seorang orang berkepentingan di dalam industri, sepatutnya saya dimaklumkan terlebih dahulu sekiranya terdapat sebarang perubahan, rombakan atau penubuhan.

“Sekarang saya sendiri keliru dengan peranan dan agensi berkait pengangkutan ini. Apa salahnya mereka menghubungi kami mendapatkan maklum balas atau sebarang cadangan sebelum menubuhkan sebuah lagi agensi bagi menyelesaikan masalah industri pengangkutan,” katanya.

Tiada ulasan: