Isnin, 24 Oktober 2016

TUAN IBRAHIM SAJAKAH DALAM PAS YANG SEDAR BAHAYANYA NAJIB KEPADA RAKYAT MALAYSIA?

shahbudindotcom


Menurut kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, kemungkinan besar kadar cukai GST akan mengalami kenaikan jika kerajaan UMNO dan BN terus kekal berkuasa selepas PRU 14 akan datang.

Keadaan ini, tambah beliau, tidak mustahil akan berlaku sekiranya kerajaan gagal mempelbagaikan hasil pendapatan untuk menampung perbelanjaan yang semakin besar.

Sekiranya jangkaan hasil tidak menepati sasaran, apakah bermakna lebih banyak lagi duit akan diambil dari rakyat?, tanya beliau.

Dalam erti kata lain, Tuan Ibrahim sedar bahayanya kepada rakyat jika UMNO, BN dan Najib Razak terus kekal berkuasa selepas PRU 14 akan datang.
 
 
 
 
Berdasarkan Bajet 2017, tidak terlibat projek-projek berimpak tinggi yang mampu menjana pendapatan bakal dilaksanakan oleh Najib, sebaliknya yang selalu dipuji berulang-kali ialah GST yang dianggap penyelamat kepada ekonomi negara.

Menumpukan semata-mata hanya kepada GST, apatah lagi jika kadarnya sentiasa dinaikkan, bererti Najib terus menekan kehidupan rakyat.

Tetapi, adakah para pemimpin Pas lain juga sedar bahayanya UMNO, BN dan Najib kepada rakyat negara ini?

Jika mereka turut sedar, mengapa Hadi Awang semakin kendur perjuangannya serta pernah berkata, parti itu tidak mahu berebut kuasa, sebaliknya memadai menjadi penasihat saja?

Begitu juga, mengapa Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dengan keras menyatakan enggan bekerjasama dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Najib?

Kenapa pula Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan menolak untuk  bersama-sama menyertai Bersih 5 bagi menuntut pilihanraya yang adil dan bersih bagi tujuan lebih mungkin UMNO, BN serta Najib dapat disingkirkan?

Apa sebenarnya perjuangan Pas sekarang? 

Mahu membela rakyat dan membebaskan mereka daripada segala derita dan kesengsaraan yang diakibatkan oleh UMNO, BN serta kepimpinan Najib atau mahu membantu beliau terus kekal sebagai Perdana Menteri?

Lagi-lagi yang selalu kedengaran bersuara pro kepada rakyat dalam Pas hanyalah Tuan Ibrahim, manakala yang lain-lain seperti merasakan Najib itu lebih agung untuk terus dikekal dan dipertahankan.

Adakah Tuan Ibrahim sedang bersendirian dengan pendirian pro rakyat dalam Pas ketika ini? 


Tiada ulasan: