Sabtu, 15 Oktober 2016

Taufan Sarika Mungkin Landa Utara Sabah

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KOTA KINABALU: Amaran berjaga-jaga telah dikeluarkan mengenai kemungkinan Taufan Sarika melanda utara daerah Pitas pada lewat Sabtu.

Menurut Jabatan Meteorologi, taufan itu bergerak perlahan-lahan ke arah barat dari bahagian tenggara di Manila, Filipina dan dijangka melanda perairan Sabah dan Sarawak.

Sehingga pukul 8 pagi Sabtu, Taufan Sarika bergerak pada kelajuan kira-kira 1,140km timur laut Pitas.

Di Kuala Lumpur, jabatan itu berkata angin barat daya selaju 40-50km/jam dengan ombak setinggi sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di beberapa kawasan di perairan Malaysia bermula Sabtu hingga 19 Oktober ini.

"Kawasan-kawasan yang terlibat adalah perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri), Labuan dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan).

"Keadaan yang sama juga dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka Utara, Condore, Reef North, Layang-Layang Reef South, Palawan dan Sulu," katanya.

Menurut jabatan itu lagi, air pasang besar juga dijangka berlaku di perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang akan mendedahkan kawasan-kawasan berkenaan kepada kenaikan paras air laut.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil atau aktiviti-aktiviti rekreasi dan sukan laut," katanya

Tiada ulasan: