Jumaat, 14 Oktober 2016

'Tak patut k’jaan lepas tanggungjawab lindungi Orang Asli'

MALAYSIA KINI


ULASAN - Bar Malaysia terkejut dengan laporan mengenai tindakan terhadap lebih kurang 200 Orang Asli Temiar yang telah menaikkan sekatan semasa proses bantahan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan Balah berdekatan dengan Gua Musang, Kelantan.

Aktiviti pembalakan ini telah menceroboh masuk ke tanah yang dianggap oleh masyarakat Temiar sebagai tanah adat mereka.

Orang Asli yang terjejas terdesak membuat laporan polis terhadap ejen syarikat pembalakan atas dakwaan intimidasi jenayah dalam bentuk ugutan lisan, penggunaan senjata api dan penggunaan mesin gergaji untuk meruntuhkan sekatan tersebut, dan untuk dakwaan penyamaran sebagai anggota polis dan pegawai penguatkuasa.

Bar Malaysia menuntut pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan penuh terhadap perkara ini, dan membawa ke muka pengadilan semua pihak yang bertanggungjawab ke atas tindakan yang menyalahi undang-undang atau perlanggaran ke atas apa-apa hak.

Bar Malaysia juga memandang berat pendirian yang diambil oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berhubung dengan hak Orang Asli Temiar terhadap tanah tersebut dan secara amnya hak Orang Asli terhadap kawasan tanah adat dan tradisinya.

Hak mutlak

Laporan mengenai tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Kelantan terhadap sekatan tersebut menunjukkan bahawa mereka memperlihatkan hak mutlak mereka untuk memberi lesen pembalakan yang termasuk kawasan yang bertindih dengan tanah adat Orang Asli.

Kerajaan persekutuan mendakwa bahawa ia tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mendesak kerajaan negeri Kelantan, atas alasan bahawa perkara berkenaan tanah adalah di bawah bidang kuasa eksklusif perlembagaan kerajaan negeri.

Orang Asli menikmati keistimewaan hak adat berhubung dengan tanah yang telah mereka duduki sejak turun temurun tanpa memerlukan pengiktirafan jelas secara eksekutif atau perundangan.

Tindakan menaikkan sekatan semasa bantahan terhadap aktiviti pembalakan ini - satu tindakan yang dilakukan oleh Orang Asli untuk menuntut hak milik adat di bawah undang-undang Malaysia - adalah hanya untuk mempertahankan tanah yang mereka tegaskan sebagai sebahagian daripada kawasan tradisi mereka.

Mahkamah-mahkamah atasan di Malaysia telah mengiktiraf dan berulang kali mengesahkan hak-hak ini sejak tahun 1997 disebabkan oleh, antara lainnya, kedudukan istimewa Orang Asli di bawah Artikel 8(5)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Hak-hak sedia ada yang dinikmati oleh Orang Asli sebagai orang pertama di semenanjung Malaysia terus wujud dan hanya boleh dinafikan oleh kata-kata yang jelas dan terang dalam undang-undang, dan bukan dengan mewujudkan rizab begitu juga dengan pemberian apa-apa lesen pembalakan oleh mana-mana kerajaan negeri.

Tidak patut

Tiada peruntukan yang jelas dan ketara dalam mana-mana undang-undang persekutuan dan negeri, yang hanya membawa maksud bahawa masyarakat Orang Asli masih terus mempunyai hak ke atas kawasan adat mereka.

Walaupun kerajaan negeri memiliki kuasa berperlembagaan berhubung dengan hal yang berkaitan dengan tanah, banyak keputusan mahkamah yang memihak kepada hak adat Orang Asli yang jelas menunjukkan bahawa kuasa sedemikian bukanlah mutlak.

Mahkamah-mahkamah di Malaysia juga telah memutuskan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai kewajipan fidusiari untuk melindungi hak-hak tanah Orang Asli dan tidak boleh bertindak dengan cara yang tidak selaras dengan hak-hak sedemikian.

Adalah tidak berpatutan untuk kerajaan persekutuan untuk melepaskan tanggungjawabnya dengan mengatakan bahawa ia tidak mempunyai kuasa berperlembagaan terhadap perkara berkaitan dengan tanah di Semenanjung Malaysia.

Artikel 83 Perlembagaan Persekutuan memberikan kerajaan persekutuan kuasa undang-undang untuk memperoleh tanah negeri bagi keperluan persekutuan, termasuklah hal kebajikan Orang Asli.
Halang peguam

Pada masa dahulu, kerajaan persekutuan telah menggubal dan membuat polisi berkaitan dengan tanah dan sumber melalui Majlis Tanah Negara, di mana ia mempunyai kawalan dan kuasa secara “de facto”.

Oleh itu, kerajaan persekutuan tidak sepatutnya mengatakan bahawa ia lansung tidak mempunyai kuasa untuk membantu Orang Asli dalam mendapatkan pengiktirafan perundangan terhadap kawasan adat mereka.

Kami telah dimaklumkan bahawa Orang Asli di kawasan hutan simpan Balah telah dihalang daripada mendapatkan nasihat perundangan, memandangkan peguam mereka telah disekat oleh Jabatan Perhutanan Negeri semasa beliau cuba memasuki kawasan tersebut dua hari yang lalu.

Sekatan ini juga telah menghalang Orang Asli untuk berhubung dengan peniaga, dan juga memperoleh bantuan makanan daripada orang luar seperti pertubuhan bukan kerajaan.

Tindakan sedemikian oleh pihak berkuasa menunjukkan cubaan terang-terangan untuk menyekat hak asasi berperlembagaan Orang Asli untuk mendapatkan penasihat perundangan, yang mana hak ini boleh dinikmati oleh rakyat lain pada bila-bila masa sahaja.

Diskriminasi orang terpunggir

Bar Malaysia menyeru pihak berkuasa untuk menghentikan sekatan ini, yang merupakan satu lagi tindakan diskriminasi terhadap orang terpinggir dan yang memerlukan perlindungan dan patut dikecam sepenuhnya.

Bar Malaysia juga menyeru kerajaan persekutuan untuk segera bertindak berdasarkan keputusan yang telah dibuat pada bulan Jun 2015 untuk melaksanakan 18 cadangan yang terkandung di dalam laporan Suhakam pada tahun 2013 mengenai Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia, untuk mengiktiraf tanah adat dan kawasan sumber Orang Asli dan juga di Sabah dan Sarawak.

Pendekatan sedemikian juga adalah selaras dengan komitmen nyata yang telah dibuat oleh Kerajaan Malaysia apabila ia mengundi untuk menyokong Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal pada tahun 2007.

Kami menggesa kerajaan negeri Kelantan untuk menghentikan dengan serta merta semua aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan Orang Asli, dan kami menyeru kerajaan persekututan dan kerajaan negeri untuk mengubah polisi mereka mengenai tanah, sumber dan alam sekitar supaya dapat menghasilkan polisi yang mampu memberikan kesan sepenuhnya terhadap keputusan mahkamah-mahkamah atasan di Malaysia dalam mengiktiraf hak adat Orang Asli terhadap tanah, kawasan dan sumber mereka.

 STEVEN THIRU adalah Yang Dipertua Bar Malaysia

Tiada ulasan: