Isnin, 10 Oktober 2016

‘Skandal’ Sabah bukti rasuah makin membarah – Anwar

INTAN NUR IDAYU


anwar-sprm-sabah


KUALA LUMPUR: Rampasan lebih RM114.5 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, baru-baru ini adalah bukti bahawa amalan rasuah semakin berlarutan dan terus membarah di dalam negara ini.

Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata satu dasar yang jelas diperlukan bagi menjana perubahan dalam sistem tatakelola, pembanterasan rasuah serta ketelusan dalam proses pembidaan tender-tender kerajaan.

“Bayangkan jika pegawai-pegawai Jabatan Air Sabah ini mampu mengumpul dana RM200 juta, apakah ini merupakan petanda tatakelola dan pengurusan buruk Kerajaan Pusat?

“Sepatutnya wang rakyat dan Jabatan Air Sabah diurus khusus untuk memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat Sabah.

“Maka, insiden ini membuktikan bahawa amalan rasuah sudah parah dan terus membarah di negara kita yang tercinta ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Difahamkan, Anwar berkata demikian ekoran daripada laporan baru-baru ini yang mana SPRM menjumpai wang tunai di dalam sebuah rumah salah seorang pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah dalam serbuan ke rumahnya.

Lantaran itu, Anwar berpandangan dengan adanya dasar yang jelas, beliau percaya ia akan dapat menjamin pengurusan teratur, jaminan nasib rakyat serta undang-undang dan penguatkuasaan kemas.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan bahawa pihaknya masih menantikan tindakan tegas SPRM terhadap kes pencurian wang negara yang didakwa berjumlah lebih RM16 bilion khususnya selepas pemfailan kes oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Tanpa tindakan tegas SPRM dalam isu ini, ia bagai memberi isyarat bahawa Perdana Menteri dan kroni-kroninya kebal undang-undang, dan institusi-institusi dimanipulasi untuk tindakan yang selektif,” katanya.


Tiada ulasan: