Sabtu, 15 Oktober 2016

‘Saya tak janji sebarang jawatan untuk Sothinathan’ – Dr Subra

NUR INTAN IDAYU


img-20161015-wa0063


KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menolak dakwaan mengatakan beliau menjanjikan ‘habuan’ kepada Datuk S. Sothinathan sekiranya beliau berjaya membawa pulang penyokong Datuk Seri G. Palanivel pulang ke MIC.

Menurut Dr Subramaniam, beliau hairan bagaimana tuduhan tersebut boleh timbul sedangkan perbincangan beliau dengan Sothinathan hanya melibatkan empat mata sahaja.

“Tak ada tak ada. Macam mana boleh kata saya janji itu ini sedangkan itu perbincangan empat mata antara saya dengan Sothi sahaja?” kata Dr Subramaniam kepada The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Selain itu, beliau yang juga merupakan Menteri Kesihatan itu turut menegaskan hasil perbincangan beliau dengan Sothinathan sejak beberapa bulan yang lalu telah memberi hasil yang positif di mana ramai penyokong Palanivel telah pun kembali semula ke MIC.

“Setakat hari ini ramai yang dah balik ke MIC dan kita alu-alukan mereka.

“Lebih kurang 100-150 Cawangan sahaja lagi yang masih belum balik kepada kita,” ujarnya.

Semalam, Sothinathan memberitahu TMT bahawa perbincangan beliau dengan Presiden MIC telah selesai dan mereka telah mencapai persetujuan untuk membawa kembali penyokong Palanivel ke MIC.

Katanya, penyokong Palanivel tidak perlukan ‘black and white’ supaya mereka kembali ke MIC kerana Dr Subramaniam telah pun bersetuju dengan syarat dan kehendak kumpulan Palanivel.

“Apa lagi nak ‘black and white’. Nak kena tulis dalam papan hitam ke? Ini kita dah bincang dan kita dah capai persetujuan dan itulah persetujuan dia.

“Ini bukan kita nak buat satu draf ataupun agreement (surat perjanjian). Ini adalah perkara politik di mana sebagai pemimpin kita dah berbincang secara ‘gentleman’ dan setuju bergabung, jadi itu sahajalah,” kata Sothi.

Difahamkan, perbincangan antara beliau dengan Dr Subramaniam telah selesai sejak September lalu lagi tetapi beliau baru sahaja membuat pengumuman kerana beliau ingin berbincang dahulu dengan kumpulan penyokong Palanivel.–TMT

Tiada ulasan: