Ahad, 16 Oktober 2016

Saya Mohon Maaf Jika Baju Merah Kasari Wartawan – Jamal

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Jamal Md Yunos.
 
 
PETALING JAYA: Ketua gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos memohon maaf jika ada wartawan yang dikasari ahli kumpulannya yang menentang siri konvoi Bersih 5.0 di Kuala Selangor.

“Kalau ada insiden itu, saya bagi pihak Baju Merah, memohon maaf kepada rakan-rakan pemberita,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu malam.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar memberitahu beliau kini berada di Dubai untuk transit sebelum meneruskan penerbangan pulang ke tanah air.

Wartawan The Star adalah antara yang dikasari kumpulan Anti-Bersih telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor.

Jika insiden itu benar seperti yang didakwa, Jamal berkata, kemungkinan ia berlaku secara tidak disengaja.

“Saya memohon maaf jika ada sebarang kerugian atau kecederaan dan sebagainya, pihak kami akan bertanggungjawab.

“Saya yakin perkara ini berlaku secara kebetulan dan tidak disengajakan,” katanya yang merujuk kepada sekumpulan wartawan yang dikasari kumpulan anti-Bersih.

Beliau yang akan mendapatkan pengesahan berhubung insiden yang berlaku berkata, kumpulan Baju Merah bukan mahu menimbulkan keganasan.

“Niat kami bukan untuk keganasan, walau apapun yang berlaku... tidak ada Kuning, tidak ada Merah. Selagi kuning ada, selagi Bersih ada, kami tetap akan ada,” katanya.

Tiada ulasan: