Isnin, 24 Oktober 2016

Sabah kerugian RM64 juta akibat kecurian elektrik

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Syarikat tenaga Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerugian kira-kira RM64 juta setahun ekoran kes kecurian elektrik di negeri ini yang masih berleluasa.
 
Pengurus Besar Kanan Pengurusan Aset SESB, Muhamad Nazri Pazil berkata, punca utama kerugian disebabkan penyambungan elektrik secara haram di kawasan penduduk setinggan di negeri Sabah.
 
"Dianggarkan sebanyak 178,000 rumah setinggan di Sabah dan hampir kesemua mereka dipercayai melakukan penyambungan elektrik secara haram," kata Nazri sambil menambah pihaknya menjalankan operasi membanteras aktiviti itu di Sandakan selama dua hari.
 
Operasi pada 22 Oktober dan 23 Oktober lalu di kawasan setinggan di Batu Sapi dan Batu 3, menyaksikan kira-kira 300 kilogram wayar dirampas.
 
Dalam pada itu, Nazri berkata, tindakan penyambungan secara haram boleh mengundang masalah ketidakstabilan kuasa kepada pengguna berbayar terutamanya bagi penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan penempatan setinggan.
 
"Operasi untuk menghentikan akvititi kecurian bekalan elektrik akan diteruskan," katanya.
 
Turut terlibat dalam operasi itu termasuk Suruhanjaya Kuasa Bahagian Pantai Timur Sabah, pegawai Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), polis, tentera darat, Majlis Perbandaran Sandakan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabata Air Negeri dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
 
 

Tiada ulasan: