Rabu, 12 Oktober 2016

PT3 tangguh selepas makmal sekolah di Perlis terbakar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PADANG BESAR: Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, di sini, terhenti seketika selepas makmal komputer dan bilik masakan di sekolah itu terbakar pagi tadi. 
 
Seramai 208 calon PT3 sedang menjawab kertas Pendidikan Islam di dewan yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian ketika kebakaran bermula kira-kira jam 11.55 pagi. 
 
Pengarah Pendidikan Perlis, Izmi Ismail, berkata kejadian itu menyebabkan peperiksaan terpaksa dihentikan selama 40 minit selepas pihaknya menerima arahan bomba. 
"Peperiksaan ditangguhkan sekitar jam 12.20 tengah hari sebelum disambung semula jam 1 tengah hari selepas mendapat kebenaran bomba. 
 
Sepanjang tempoh itu, semua calon PT3 dikuarantin di lokasi selamat sebelum dibawa masuk semula ke dewan peperiksaan," katanya dipetik BH Online.
 
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Mohd Fadzil Haroon, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.08 tengah hari, sebelum menghantar 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar, Padang Besar dan Kuala Perlis. 
 
"Bomba mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengawal kebakaran. 
 
Kejadian tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan hanya dua bilik, iaitu makmal komputer dan bilik masakan terbakar," katanya. 
 
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
 
 

Tiada ulasan: