shahbudindotcom
Ramai
yang percaya Najib Razak akan terus bertahan sehingga PRU 14 dan akan
berusaha sedaya mungkin untuk memenangi pilihanraya itu. PRU 14 adalah
perjuangan hidup mati bagi dirinya.
Jika
menang PRU 14 akan datang, masa depan politiknya boleh dianggap sudah
selamat. UMNO dan BN tidak lagi seteruk ini berdepan cabaran dalam
pilihanraya yang seterusnya.
Tetapi,
sekiranya kalah PRU 14, macam-macam kemungkinan buruk boleh terjadi
kepada Najib. Najib sendiri barangkali tidak membayangkan ada lagi
kegembiraan buatnya jika kecundang dan hilang kuasa.
Kiranya
pada PRU 14, masih ada Tun Mahathir, Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin
yang menggugat Najib, pada PRU 15 yang sepatutnya pada 2023 nanti,
semua tokoh berkenaan tentu saja sudah terlalu tua atau mungkin ada
yang telah meninggal dunia.
Dengan
menang PRU 14, bukan saja kemenangan dalam PRU 15 hampir tiada masalah
lagi, malah Najib turut mampu mencatur penggantinya dan seterusnya akan
membuatkan dirinya selamat buat selama-lamanya.
Dalam erti kata lain, PRU 14 adalah satu-satunya peluang untuk Najib menyelamatkan dirinya.
PRU
14 juga adalah detik untuk Tun Mahathir menyelamatkan dirinya. Jika
tidak menang bersama PPBM yang diwujudkannya untuk menjatuhkan Najib,
Tun Mahathir turut tidak boleh membayangkan apa jadi kepada dirinya
selepas itu.
Jika
sekarang pelbagai kemudahannya sudah ditarik sehingga tukang masak pun
mahu ditukar, Mukhriz dipecat dan hilang jawatan Menteri Besar serta
Mokhzani dipaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Litar Sepang,
nasib keluarga Tun Mahathir pasti lebih buruk lagi selepas Najib berjaya
mengekalkan kuasanya dalam PRU 14 nanti.
Bukan
saja beliau akan lebih dihina dan dicincang-lumat oleh Najib, malah
Salleh Said Keruak, Rahman Dahlan, Nazri Aziz dan Jamal Md Yunus pasti
lebih tidak terperi gegak-gempitanya.
Gagal
menyingkirkan Najib dalam PRU 14 juga bermakna berakhirlah perjuangan
Tun Mahathir untuk menyelamatkan negara ini. Rasuah, penyelewengan,
mencuri wang negara dan aktiviti kleptokrasi tidak mustahil akan terus
berleluasa.
Sekiranya
berjaya menyingkirkan Najib, diikuti langkah-langkah memulihkan semula
imej negara, Tun Mahathir akan lebih dikenang sebagai pemimpin yang
hebat dalam sejarah negara, sama ada ketika berkuasa mahu pun setelah
tiada kuasa.
Lantaran itu, PRU itu adalah perjuangam hidup dan mati juga bagi Tun Mahathir.
Tidak terkecuali, PRU 14 turut merupakan perjuangan hidup dan mati bagi Anwar Ibrahim yang kini berada di penjara.
Meskipun
berada di penjara, Anwar tetap berusaha supaya UMNO dan BN tidak terus
berkuasa. Meskipun diakui Anwar seorang yang berjiwa besar, sedianya
beliau berbaik semula dengan Tun Mahathir adalah bagi tujuan mengukuhkan
lagi kekuatan pembangkang dan seterusnya memungkinkan mampu memenangi
pilihanraya.
Hanya
jika UMNO dan BN dapat dikalahkan dalam PRU 14, barulah masa depan
Anwar menjadi cerah. Dengan pembangkang memenangi pilihanraya, Anwar
bukan saja mungkin dibebaskan lebih awal, malah boleh diusahakan
pengampunan penuh bagi membolehkannya menjadi wakil rakyat semula dan
menggapai kembali kerusi Perdana Menteri.
Berbanding
jika UMNO dan BN terus berkuasa, Anwar bukan saja akan dibiarkan
merengkok sehingga tempoh maksimumnya, malah selepas dibebaskan nanti,
beliau akan terus terkekang dengan keterbatasan undang-undang yang
melarangnya bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun.
Dengan yang demikian, Anwar mungkin sudah terlalu tua untuk mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri selepas itu.
Begitu
juga dengan Muhyiddin, hanya kekalahan UMNO dan BN dalam PRU 14 dapat
memungkinkan cita-citanya menjadi Perdana Menteri akan tercapai. Jika
parti-parti pembangkang memenangi PRU 14 dan PPBM mampu memenangai
banyak kerusi, kebarangkalian adalah cukup tinggi bahawa beliau akan
menjadi Perdana Menteri untuk sepenggal atau sehingga Anwar memperolehi
pengampunan penuh dan mengambil alih jawatan tersebut.
Setidak-tidaknya,
dapat juga Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan ia mungkin sudah
memadai baginya sebagai kepuasan dan untuk menunjukkan kepada Najib,
meksipun dipecat daripada UMNO dan kerajaan, merasa juga berada di
puncak kuasa.
Sekiranya
PRU 14 ini gagal mencapai kemenangan, Muhyiddin hanya sekadar mampu
berpuas hati dapat berada di lipatan sejarah dalam senarai orang nombor
dua yang kecundang di pertengahan jalan.
Maka, bagi Muhyiddin melalui PPBM, PRU 14 adalah perjuangan hidup dan mati yang akan terus diperjuangkan sedaya yang mungkin.
Bagi
pemimpin-pemimpin yang lain, siapa kalah dan siapa menang dalan PRU
14, mungkin tidak sepenting bagi mereka yang disebutkan tadi.
Tetapi,
jangan lupa PRU 14 juga adalah penentuan hidup dan mati bagi rakyat
seluruhnya. Rakyat mungkin akan menemui beberapa perubahan dan kebaikan
seperti tiada lagi GST, tadbir urus kerajaan yang lebih baik, pemimpin
yang lebih bertanggungjawab, dalang dan petualang 1MDB dapat diketahui,
rakyat Kelantan mendapat royalti, hak yang lebih baik bagi Sabah dan
Sarawak dan pelbagai lagi kemungkinan sekiranya kerajaan baru yang bukan
ditunjangi oleh UMNO dan BN yang mengambil alihnya.
Sekiranya
terus di bawah BN, boleh saja dibayangkan bahawa bukan saja Najib dan
Rosmah masih ada seperti biasa dan mungkin lebih luar biasa, malah kita
akan terus melihat kelibat Salleh Said Keruak, Nazri Aziz, Rahman
Dahlan, Jamal Md Yunus dah mereka yang sepertinya terus mewarnai
caca-marba negara.
Tidak mustahil juga, GST turut dinaikkan lagi kadarnya, menteri-menteri bertambah kaya dan kleptokrasi lagi mega angkanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan