Selasa, 11 Oktober 2016

Pengurusan berhemah: Kenyataan PM sukar dipercayai

Tuan Ibrahim Tuan Man





Kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan mahu menghulurkan sebanyak mungkin bantuan dan manfaat untuk rakyat dalam Bajet 2017 namun pada masa sama mengurus kewangan negara secara bertanggungjawab dan berhemah.

Hujah PM sedap didengar, namun rakyat sukar mempercayainya.

Bukan sahaja negara terpaksa berdepan dengan nilai Ringgit yang lemah, dan harga minyak yang belum pulih serta keadaan Petronas yang ketat, negara juga diancam dengan ketirisan dan rasuah yang sistemik di bawah pemerintahan yang diterajui Umno.

Rampasan RM114.5 juta oleh SPRM daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah baru-baru ini yang disifatkan sebagai ikan kecil oleh pelbagai pihak adalah bukti kepada perkara ini. Bayangkan berapa banyak duit yang boleh dijumpai kalau mereka tergolong antara ikan-ikan jerung.

Kesungguhan PM mengawal belanja boleh dinilai daripada kesungguhannya mengawal pembelanjaan Jabatan Perdana Menteri selama ini, di mana hampir peruntukan JPM meningkat dari RM13 bilion kepada RM20 bilion dari tahun 2012 ke 2016, dan angka ini dijangka meningkat pada 2017. Yang menyedihkan ialah sementara bajet JPM meningkat, bajet untuk rakyat seperti pendidikan pula dikurangkan.

Jika PM serius mengenai perbelanjaan negara, selain perbelanjaan berhemah, perbelanjaan negara juga perlu tepat ke sektor yang menjana peluang pekerjaan seperti sektor tenaga bersih, infrastruktur, syarikat kecil dan terutamanya sektor pendidikan yang membina rakyat dan negara untuk jangka masa panjang, dan bukannya JPM.

Pendidikan memberi keyakinan. Keyakinan membawa harapan. Harapan membawa keamanan. Oleh itu, pendidikan menjadi asas kepada pembangunan rakyat dan negara.

Gunakan dana yang dijimatkan melalui pelbagai subsidi yang ditarik balik daripada rakyat seperti beras, gula, tepung, minyak dan gas untuk memberikan pendidikan sekolah rendah dan menengah secara percuma kepada anak-anak warganegara yang ibu bapa berpendapatan rendah. Gunakan dana itu untuk meringankan beban kepada anak-anak muda yang berhutang untuk membiayai pendidikan, seperti PTPTN untuk melanjutkan tempoh pembayaran balik semula.

Perdana Menteri dan pasukan PEMANDU sentiasa melaungkan negara akan menjadi negara sumber pendapatan tinggi di tahun-tahun. Jika itu ialah matlamat utama, maka sepatutnya pelaburan perlu difokuskan ke sektor pendidikan.

PM usah risau dengan pengurangan bajet JPM pada 2017 asalkan PM terus memastikan rasuah dibanteras. Bayangkan kalau ada 10 rumah lagi seperti di Sabah diserbu di seluruh negara untuk mendapatkan balik dana negara yang hilang akibat ketirisan dan kecurian, negara sudah berjimat sebanyak RM1 bilion yang boleh dijadikan peruntukan tambahan untuk JPM, melainkan ketirisan dan kecurian itu datang daripada JPM sendiri.

Bukankah membanteras rasuah lebih mudah daripada menaikkan GST? Kedua-duanya menjana pendapatan, cumanya satu disokong rakyat dan satu lagi bakal dikutuk rakyat habis-habisan. HARAKAHDAILY

*  Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS

Tiada ulasan: