Isnin, 24 Oktober 2016

Pengguna internet meningkat, membimbangkan kerajaan - Dr. Abdullah

 
 
 
 
Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin melahirkan kebimbangan dengan peningkatan pengguna internet di negara ini yang mengakses aplikasi media sosial setiap hari.
 
Kata beliau, hasil kajian TNS Global menunjukkan sebanyak 66 peratus daripada 30.5 juta rakyat berada di talian internet setiap hari, sekali gus meletakkan Malaysia di tangga keempat aktif media sosial di Asia Pasifik.
 
Menurutnya, kajian daripada “We are sosial” sehingga September lalu juga menunjukkan 59 peratus daripada 20.1 juta pengguna internet adalah gologan berumur 30 tahun ke bawah.
 
"Statistik ini sangat merisaukan jika tidak ditangani dengan baik kerana pengguna media sosial ini kebanyakannya generasi muda yang perlu diberi kesedaran dengan sifat bertanggungjawab dalam menerima, menilai dan memeriksa kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya kepada pihak lain.
 
"Ini semua berpunca daripada kecanggihan pelbagai alat komunikasi terutama telefon pintar yang dibantu pula dengan perisian media sosial masa kini seperti Whatsapp, Facebook, Twitter, Flicker, Instagram, blogs dan laman sesawang yang memudah serta mempercepatkan penyampaian maklumat," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk, 'Fitnah Media Sosial Cetus Permusuhan dan Kehancuran Ummah: Perspektif Fiqh Tabayyun' di Seminar Antarabangsa 2016 Wasatiyyah di Shah Alam, hari ini.
 
Perasmian seminar dua hari ini dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 8 malam ini.
 
Menurut mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama itu, antara kesan besar daripada kecanggihan media sosial ialah penglibatan segelitir rakyat negara ini dalam kumpulan militan Negara Islam iaitu Daesh.
 
Jelasnya, mereka terpengaruh dengan perjuangan itu kononnya jihad, disebabkan kecetekan berfikir akibat daripada menerima maklumat salah iaitu dalam bentuk fitnah oleh pihak tertentu menerusi media sosial.
 
"Paling membimbangkan bagaimana kumpulan Daesh ini begitu licik menggunakan media sosial merekrut bukan sahaja lelaki, bahkan juga gadis remaja serta kanak-kanak untuk menyertai kumpulan berkenaan.
 
"Kenapa semua ini berlaku? Paling tidak, boleh dikatakan kerana situasi masyarakat kita mentafsirkan pemahaman konsep jihad itu secara melampau dan hanya melihat jihad itu dengan peperangan sahaja," katanya.
 
Dr. Abdullah memberi contoh, pada 18 Mei lalu, kumpulan Daesh menerusi video propaganda berdurasi 16 minit telah mengisytihar perang terhadap Malaysia.
 
Perisytiharan itu, ujar beliau, disampaikan Ketua Sayap Daesh dari Unit Katiban Nusantara, Zainuri Kamaruddin, yang juga bekas Ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).
 
"Alasan diberikan Zainuri untuk berperang dengan Malaysia adalah kerana negara ini dilihat sebagai sebuah negara taghut iaitu zalim dan berbuat jahat.
 
"Bagaimanapun polis menerusi Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman telah memantau sebarang aktiviti domestik dan kumpulan yang bersimpati dengan Daesh bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terjadi.
 
"Polis tetap bersiap sedia, jika benar pengaruh Daesh tersebar luas di sempadan utara, selatan Filipinna dan kemungkinan serangan secara berseorangan," katanya.
 
Mengenai fitnah media sosial, beliau menasihat umat Islam agar berwaspada supaya tidak terdedah kepada penyebaran berita yang belum dipastikan kesahihannya.
 
"Tambahan pula kadang-kadang sumber berita itu datangnya dari musuh Islam," katanya. - MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: