Isnin, 24 Oktober 2016

Pemimpin UMNO jangan lalai, angkuh - Ku Li

 
 
Tengku Razalaiegh Hamzah
Tengku Razalaiegh Hamzah


Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razalaiegh Hamzah tidak mahu parti UMNO lalai dan angkuh sehingga kalah dalam pilihan raya akan datang.

Malah beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li tidak mahu parti utama orang Melayu itu mengikut jejak Parti LDP di Jepun dan Parti Kongres di India.

"Saya tidak mahu (UMNO) terjerumus keadaan seperti Parti Kongres di India dan LDP di Jepun..mereka kalah pilihan raya kerana terlampau lalai dan angkuh. Nasihat kepada yang berkuasa supaya tengok-tengok sikit," ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan buku bertajuk The End Of UMNO? Essays On Malaysia's Dominant Party di sini pagi tadi.

Ditanya sama ada UMNO akan 'berkubur' seperti tajuk buku berkenaan, Ku Li berpendapat ia sekadar tajuk buku yang ditulis dan diedit oleh Prof. Bridget Welsh itu.

"UMNO masih hidup sampai sekarang, sudah banyak tahun dan ramai sudah menikmati hasil keamanan dan kestabilan di negara ini. Kamu bersetuju ke tak? Tajuk itu pilihan penulisnya. Ia bukan  saya, kalau buku saya tajuknya mungkin berlainan," katanya lagi.

Mengulas ucapannya mengenai 'ikan busuk mula daripada kepala', Ku Li berkata: "Macam saya cakap ada pemimpin biasanya dalam satu-satu organisasi akan mula buruk di kepala, kalau ada keadaan seumpama itu (berlaku) kena potong kepala,".

Beliau juga mengulangi ucapannya mengenai kesukaran pembangkang mengalahkan UMNO memandangkan parti berusia 70 tahun itu sudah berpengalaman dan mempunyai jentera parti yang kuat.

"Tengok sahaja bajet, mereka betul-betul pergi kepada rakyat," ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya bertajuk Nafas Baru Demokrasi Berpelembagaan Negara, Ku Li berpendapat, Majlis Raja-Raja seharusnya bertindak sebagai kuasa perlembagaan berkumpulan selain daripada tiga cabang kerajaan sedia ada dan keadaan itu pasti memberi faedah kepada rakyat dan negara.

Maljlis Raja-Raja, katanya, boleh membantu sekiranya sistem pemerintahan terbantut dan ketiga-tiga cabang kerajaan tidak berfungsi.

"Saya ingin menyingkap kembali kedudukan Majlis Raja-Raja. Walaupun terdapat peruntukan mengenainya di dalam Perlembagaan, rakyat jelata cuma merasai kehadirannya dalam bentuk semangat. Ini disebabkan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai belanjawan sendiri dan terpaksa bergantung kepada kuasa lain untuk kewujudannya. Ia juga tidak mempunyai kerangka pentadbiran sendiri secara menyeluruh.

"Ini menyedihkan. Sebenarnya raja-raja merupakan salah satu pihak terlibat secara langsung dalam rundingan kemerdekaan. Ini bermakna raja-raja Melayu juga terlibat dalam mewujudkan perlembagaan negara," katanya.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: