Khamis, 20 Oktober 2016

Pemimpin adil antara 'selamat' di Padang Mahsyar

Pemimpin adil antara 'selamat' di Padang Mahsyar
Hassan Din (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama orang ramai yang menghadiri majlis perdana di Masjid Jamek Al Munawwer Kelawei.‎ - Foto Sinar Harian


GEORGETOWN - Pemimpin adil antara golongan yang akan terlepas dari Padang Mahsyar, demikian menurut penceramah terkenal, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz.

Jelasnya, itu antara ciri tujuh golongan yang akan terlepas serta dipayungi ketika berada di padang mahsyar.

"Jadi pemimpin dunia ataupun pemimpin negara kenalah adil, tidak pilih kroni dan sebagainya.

"Ia termasuk pemimpin keluarga sekalipun, ada dua hingga empat isteri, kena adil, barulah selamat.

"Ada yang bertanya pada saya, jika pemimpin adil, dan dia terbaik tetapi tidak solat?

"Adakah masih berada dalam golongan ini? Ya dia masih berada dalam golongan ini tetapi ingat sebelum ke padang mahsyar dia akan berada di alam kubur dahulu, akan melalui seksa kubur, jadi biarlah kita jadi pemimpin yang adil serta cukup amal ibadahnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana Majlis Pelancaran Dana Surau Kompleks Kota Raja, Ipoh di Masjid Jamel Al-Munawwar Kelawei di sini.

Hassan Din dalam ceramahnya juga menjelaskan, golongan kedua selamat ketika berada di Padang Mahsyar ialah seseorang yang bersedekah tetapi dirahsiakan.

"Kita sedekah RM10,000, RM20,000 jangan cerita dekat orang, ini sedekah RM10 pun sudah riuh.

"Bila hendak infak sesuatu, rahsiakan, seperti tangan kiri langsung tidak tahu apa yang tangan kanan lakukan.

"Sebaliknya pada hari ini, apa yang berlaku ialah sumbangan baru RM1,000 tapi cek sudah sebesar pintu masjid," katanya.

Tambah beliau lagi, lima golongan lain termasuklah orang yang jiwanya terpikat dengan masjid.

Selain itu anak muda yang berjaya mengharungi masa mudanya kerana ALLAH SWT adalah kelompok keempat dipayungi di Padang Mahsyar.

"Seterusnya, dua orang yang berkasih sayang kerana ALLAH SWT, mereka bertemu kerana ALLAH dan berpisah juga kerana ALLAH, sama seperti Ansar dan Muhajirin.

"Golongan keenam ialah seseorang yang apabila menyebut ALLAH SWT, mengalir air matanya, bila sebut neraka, mengalir air matanya, masya-ALLAH," katanya.

Hassan Din berkata, kelompok terakhir ialah lelaki mahupun wanita yang bila diajak melakukan maksiat tetapi dia menolaknya kerana takutkan ALLAH SWT.

"Bila diajak, dia mengucapkan maaf, saya takut kerana ALLAH SWT," katanya.


Tiada ulasan: