Isnin, 17 Oktober 2016

PAS perjuang RUU 'sampai kiamat' kata Idris Ahmad

Oleh Shuhaniza Said & Mohd Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS tidak akan berputus asa dan akan berusaha ‘sampai kiamat’ untuk membawa Rang Undang-Undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), jika ia ditolak pada sidang kali ini.
 
"Sampai kiamat," kata Naib Presidennya, Idris Ahmad ringkas, ketika ditanya apa tindakan PAS jika RUU itu ditolak setiap kali dibawa di parlimen.  
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka akan membentangkan RUU dalam waktu terdekat, memandangkan ia diletakkan dalam agenda keempat dalam sesi pindaan akta dan usul di Parlimen.
 
Ketika ditanya pemberita sama ada RUU itu akan mendapat sokongan daripada ahli Parlimen Umno-Barisan Nasional (BN), Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, ia sememangnya menjadi harapan PAS. 
 
"Kalau semua di kalangan ahli parlimen sokong, luluslah.
 
"Kita harapkan dapatlah (sokongan BN). Anda kena tanya PM…  tanggungjawab kita membawa (usul)," katanya.
 
Mengulas mengenai langkah Amanah yang mahu mengemukakan usul alternatif terhadap RUU 355, Idris berkata, perkara itu terpulang kepada parti berkenaan.
 
"Itu terpulang kepada dia (Amanah). Semuan parti berhak untuk mengemukakan.
 
"Kita ada cara kita, dia cara dia," katanya.
 
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata usul mereka lebih menyeluruh berbanding cadangan Hadi yang menurutnya kabur dan terbuka kepada salah tafsir.
 
Usul Amanah itu antaranya mencadangkan pembentukan sebuah majlis merangkumi pakar agama dan undang-undang bagi membincangkan kaedah terbaik memperkasa Mahkamah Syariah.
 
Usul itu diserahkan minggu lalu oleh ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud dan sepatutnya dimasukkan dalam kertas aturan parlimen minggu depan.
 
 

Tiada ulasan: