Selasa, 25 Oktober 2016

PAS lantik peguam UK saman Sarawak Report

 
Peguam akan menghantar surat tuntutan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan seterusnya, kata setiausaha agung PAS.


Takiyuddin-Hassan_sarawak-report_law_600


PETALING JAYA: PAS melantik seorang peguam di United Kingdom bagi memulakan saman terhadap Sarawak Report kerana mendakwa kepemimpinan parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata peguam itu dilantik bulan lepas dan sedang menyediakan segala dokumen undang-undang.

“Kami akan menghantar surat tuntutan kepada editor Sarawak Report terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan seterusnya yang akan diambil,” katanya kepada FMT.

Sebelum membuat keputusan memfailkan saman, pihak yang terkilan akan menghantar notis kepada penerbit bagi mendapatkan penarikan balik kenyataan fitnah, permohonan maaf dan pampasan kewangan, jika gagal saman akan difailkan di mahkamah.

Takiyuddin berkata, PAS akan menghantar seorang peguam dari Malaysia untuk berhubung dengan peguam di UK apabila proses undang-undang bermula.

Sarawak Report mendakwa dalam satu artikel pada 6 Ogos yang sejumlah RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin atasan PAS.

Transaksi wang itu katanya, adalah salah satu percubaan Najib untuk “menarik” kepimpinan PAS supaya menyokong Barisan Nasional dan Umno.

Dakwaan itu dikritik para pemimpin PAS, termasuk timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan berkata PAS akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berkenaan di atas laporan berniat jahat bagi mencemarkan reputasi parti itu serta dasar Islamnya.

Tiada ulasan: