Sabtu, 8 Oktober 2016

PAS kunci satukan pembangkang, kata Muhyiddin

 
Muhyiddin berkata, PAS 'mengiktiraf beliau boleh memainkan peranan' untuk membawa parti pembangkang bekerjasama. 


Muhyiddin3535


PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya PAS menerima beliau sebagai orang tengah untuk menyatukan pembangkang bagi menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden Parti Bumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dipetik Straits Times Singapura berkata, PAS yang tidak sehaluan dengan DAP “mengiktiraf saya boleh memainkan peranan dalam kerjasama itu”.

“Gambaran lebih besar ialah keperluan kita bekerjasama untuk mendapatkan kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan,” katanya.

Muhyiddin yang dipecat daripada Umno pada 24 Jun lalu dan disebut-sebut Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pilihan pembangkang untuk menjadi perdana menteri berkata, pemimpin pembangkang tidak pernah membincangkan perkara itu.

“Tiada guna bercakap mengenainya sebelum anda membentuk (gabungan)…kalau tidak rakyat Malaysia akan kata anda tidak bersatu,” katanya.

Pemimpin Pakatan Harapan bertegas bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai pilihan mereka sebagai perdana menteri.

Muhyiddin berkata, ada persetujuan mengenai “PAS penting dalam agenda kami” dan wujud percanggahan dalam PAS “tetapi itu adalah isu yang perlu ditangani kepimpinan mereka. Mereka tidak boleh ada orang yang setuju dan orang lain pula membantah”.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, manfaat pilihan raya yang diperolehi PAS sebelum ini “bukan semuanya disebabkan undi Melayu”, tetapi kerana pakatan mereka dengan DAP.

“Isunya sudah tentu bagaimana anda babitkan diri dengan mereka, vis-a-vis bukan sahaja masalah dalam PAS, tetapi antara PAS dengan parti lain juga, khasnya Amanah dan DAP.”

PAS tidak sebulu dengan DAP dalam pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, selepas kumpulan penentang keluar parti dan membentuk Amanah yang bekerjasama dengan DAP dan PKR menerusi Pakatan Harapan.

Parti Islam itu enggan bekerjasama dengan Amanah dan DAP, manakala PPBM dan Pakatan pula bersetuju tidak akan bertanding di kerusi sama bagi mengelakkan undi pecah

Tiada ulasan: