Sabtu, 15 Oktober 2016

PAS bidas Zairil pemimpin tidak faham Islam

 
Khairuddin berkata, gesaan mufti Perak itu perlu disambut baik, memandangkan ia adalah tanggungjawab agama dan perlu difahami semua ahli Parlimen Islam.


Datuk Khairuddin Aman Razali


PETALING JAYA: PAS hari ini menyifatkan wakil rakyat DAP, Zairil Khir Johari sebagai pemimpin tidak memahami Islam kerana sanggup menentang Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang diusulkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali juga meminta semua pihak tidak melayan kenyataan ahli Parlimen Bukit Bendera itu yang menolak gesaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kepada ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong RUU 355 yang akan dibahaskan pada sidang Parlimen bermula Isnin ini.

“Pandangan Zairil yang menolak pandangan agama yang dikeluarkan Mufti Perak usah dilayan, kerana dia tidak memahami hukum Islam,” katanya kepada FMT.

Semalam, naib pengerusi DAP Pulau Pinang itu dilaporkan berkata, umat Islam tidak wajib menyokong RUU 355 kerana ia bukan “hukum Tuhan” dan bukan semua mufti bersetuju dengannya.

Kelmarin, Harussani berkata, beliau berharap RUU 355 yang diusulkan presiden PAS itu bukan sahaja diluluskan di Kelantan, tetapi untuk seluruh Malaysia.

Rabu lalu, Harussani dilaporkan berkata, “wajib” untuk umat Islam, termasuk ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira perbezaan politik menyokong RUU itu dan ia adalah “salah” jika mereka tidak menyokong rang undang-undang itu.

Khairuddin berkata, gesaan Harussani itu perlu disambut baik, memandangkan ia adalah tanggungjawab agama dan perlu difahami semua ahli Parlimen Islam.

“Akta 355 sedia ada tidak memberikan hak sebenar kepada Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman kepada 3 kesalahan jenayah, iaitu jenayah minum minuman memabukkan, jenayah menuduh orang Islam berzina tanpa bukti dan jenayah persetubuhan haram.

“Akta 355 menetapkan hukumannya ialah maksimum 3 tahun penjara atau RM5,000 denda atau sebat 6 sebatan, sedangkan ketiga-tiga kesalahan itu hukumannya dalam Islam ialah dirotan dengan rotan kecil yang tidak melukakan kulit, apatah lagi isi,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, hukuman sebat yang diamalkan mahkamah sivil lebih menyakitkan dan bercanggah dengan Islam.

“Maka menjadi kewajipan kepada ahli Parlimen Islam untuk mengubah dan meminda Akta 355 kepada teks, sebagaimana dicadangkan ahli Parlimen Marang, iaitu Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman menurut undang-undang Syariah,” katanya.

Tiada ulasan: