Lim Guan Eng
ULASAN Dalam masa lapan tahun,
kerajaan Pakatan telah berjaya mengubah Pulau Pinang, negeri tercorot di
bawah pentadbiran BN pada tahun 2006-2007, menjadi juara nombor satu
dalam kadar pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun 2014-2015.
Kerajaan negeri Pulau Pinang membantah keras pembohongan BN kononnya
prestasi ekonomi dan kewangan kerajaan negeri Pakatan sangat
menyedihkan, dan memutarbelit kejayaan kita mengubah ekonomi Pulau
Pinang menjadi salah satu yang paling dinamik di Malaysia.
BN tidak boleh menukar hitam jadi putih, atau putih menjadi hitam
apabila laporan tahunan Ketua Audit Negara membuktikan perkara-perkara
berikut.
Sepanjang lapan tahun sejak kerajaan Pakatan mengambil alih, Pulau
Pinang telah mencatatkan lebihan belanjawan tahunan dengan lebihan
terkumpul sebanyak RM574 juta sepanjang lapan tahun 2008-2015, lebih
banyak berbanding BN sepanjang 50 tahun antara 1957-2007 yang setakat
RM373 juta.
Kita telah berjaya melakukan lebih baik dalam tempoh lapan tahun berbanding apa yang BN lakukan dalam masa 50 tahun.
Aset rizab dua kali ganda
Aset rizab kita telah meningkat hapir dua kali ganda sepanjang tempoh lapan tahun ini, daripada RM850 juta menjadi RM1.6 bilion.
Lebih signifikan ialah hutang kerajaan negeri telah dikurangkan
sehingga 90 peratus dalam jangka masa yang sama pada jumlah RM69 juta
menjelang hujung 2015, yang terendah dalam negara.
Hutang RM69 juta ini perlu dibandingkan dengan sejumlah RM16.8 bilion
oleh 13 negeri, dengan Pahang yang berhutang hampir RM2.9 bilion,
diikuti Sabah sebanyak RM2.6 bilion, Sarawak RM2.5 bilion, Kedah RM2.3
bilion dan Kelantan RM1.3 bilion.
Bandingkan prestasi ekonomi Pulau Pinang dengan kerajaan persekutuan
yang telah merekodkan belanjawan tahunan berdefisit untuk 18 tahun
berturut-turut sejak tahun 1998 dan hutang kerajaan persekutuan yang
meningkat tiga kali ganda sejak 2007 menjadi RM800 bilion.
Jadi beritahu saya - prestasi ekonomi kerajaan manakah yang menyedihkan?
Projek terbengkalai
Hasil kejayaan ekonomi Pulau Pinang boleh dilihat dengan kembali
hidupnya projek-projek perumahan yang terbengkalai dan pemulihan
pusat-pusat pelancongan yang telah mati seperti bangunan Komtar, Bukit
Bendera, George Town, Penang International Sports Arena (PISA) dan malah
Seberang Perai.
Bahkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat daripada
bantuan tunai sebanyak RM400 juta yang diagihkan saban tahun seperti
pemberian RM100 setiap tahun untuk warga emas, ibu tunggal, surirumah,
orang kelainan upaya dan murid sekolah, serta bayaran one-off RM1000 untuk perbelanjaan kematian, RM200 untuk anak-anak baru lahir dan RM1000 untuk mahasiswa tahun pertama.
BN telah cuba untuk memusnahkan kejayaan Pulau Pinang dalam
pengurusan kewangan dan tadbir urus yang bersih, termasuk amalan tender
terbuka, yang telah mendapat pujian daripada laporan tahunan Ketua Audit
Negara dan juga Transparency International dengan mendakwa bahawa:
“Jabatan Statistik menunjukkan bahawa KDNK per-kapita untuk Pulau
Pinang merekodkan kenaikan 44 peratus daripada RM31,039 pada tahun 2007
ke RM44,847 pada tahun 2015, kadar terendah yang direkodkan. BN malah
memuji negeri paling miskin di Malaysia, Kelantan. KDNK per-kapita di
Kelantan bagi tahun 2015 adalah yang paling rendah, namun kadar
pertumbuhan untuk negeri Pantai Timur itu pada tempoh yang sama antara
2007-2015 jauh mendahului Pulau Pinang pada kadar 73.9 peratus.”
BN gagal menyebutkan bahawa merekalah penyebab kenapa Pulau Pinang merekodkan kadar pertumbuhan terendah bagi KDNK per-kapita.
Bermula dengan negeri tercorot
Bagi tahun 2006-2007, Pulau Pinang adalah negeri tercorot, merekodkan
kadar pertumbuhan KDNK per-kapita pada hanya 5.9 peratus. Apabila
kerajaan Pakatan mengambil alih pada tahun 2008, kita mempunyai tugasan
yang besar untuk mengubah ekonomi yang direkodkan pada kadar terendah
bagi KDNK per-kapita.
Kerajaan Pakatan telah berjaya mengatasi cabaran ini seperti yang
ditunjukkan angka-angka yang diberikan Jabatan Statistik. Pulau Pinang
menduduki tempat ketiga seluruh negara bagi pertumbuhan KDNK per-kapita
bagi tahun 2012-2013, tempat kedua bagi tahun 2013-2014 dan johan pada
tahun 2014-2015.
Meskipun kita mengambil masa 8 tahun, kerajaan Pakatan telah berjaya
mengubah negeri tercorot dalam negara bagi tahun 2006-2007 menjadi
negeri nombor satu dalam pertumbuhan KDNK per-kapita bagi tahun
2014-2015.
Inilah kemampuan kerajaan Pakatan, menukarkan defisit menjadi
lebihan, negeri corot menjadi juara, hutang yang tinggi bertukar rendah.
Rahsia kejayaan kerajaan Pakatan Pulau Pinang ialah integriti dan
urustadbir bersih. Bezakan Pulau Pinang sebagai negeri paling bersih di
Malaysia yang dipuji Transparency International dengan kerajaan
persekutuan BN yang diberi gelaran kerajaan paling korup dalam dunia.
Daripada memuji kami kerana mengubah ekonomi negeri Pulau Pinang,
kami disuruh belajar daripada BN yang telah menjahanamkan reputasi
negara di mata dunia dengan skandal RM53 bilion 1MDB dan skandal derma
RM4.2 bilion.
Mereka yang berbohong semudah bernafas nyata tidak layak memimpin negara.
LIM GUAN ENG Ketua menteri Pulau Pinang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan