Sabtu, 15 Oktober 2016

Oh Bajet!


 

Oleh Farhan Haziq Mohamed


Pasca 2008 menyaksikan belanjawan atau bajet menjadi satu topik penting di kalangan rakyat. Hal ini kerana dokumen tersebut mula menjadi perhatian rakyat apabila gabungan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat hadir membentangkan bajet alternatif bermula 2009. Boleh dikatakan bajet alternatif sedikit sebanyak membawa wacana baru mengenai bajet sebenar yang dibentang tiap-tiap tahun pada Oktober.

Saya fikir ini sumbangan besar Pakatan Rakyat yang sudah mati kepada rakyat Malaysia.
Bajet akhirnya menjadi topik yang ditunggu-tunggu rakyat untuk mengetahui apa yang akan mereka dapat, manakala di kalangan penganalisis akan melihat sejauh mana pertumbuhan negara akan tercapai dan ekonomi negara akan dipacu dengan lebih tinggi. Di kalangan aktivis pula, mereka melihat sejauh mana bajet akan membantu golongan-golongan tertindas, seperti gelandangan, wanita, OKU, dan miskin.
Pejuang kaum pula akan meneliti sejauh mana bajet ini memanfaatkan kaum masing-masing.

Memandangkan Malaysia masih mengamalkan corak politik kaum, maka bajet dilihat dari sudut “kaum aku dapat apa”. Oleh itu, tidak janggal untuk kerajaan dalam bajetnya mengumumkan bajet untuk Bumiputera, Cina, dan India.

Justeru, usai pembentangan Bajet 2016, begitu banyak serangan demi serangan daripada pembangkang terhadap bajet ini. Ada yang mengatakan ia bajet paling teruk, ada yang mengatakan ia bajet panadol dan ada yang mengatakan bajet Najib, oleh Najib dan untuk Najib.

Tanpa disedari atau sengaja mahu mempolemikkan isu dan beberapa perkara baik tidak diberi perhatian.
Bajet kali ini menyaksikan pengenalan golongan M40, iaitu merujuk kepada golongan berpendapatan RM3,820 – RM8,320 yang boleh dikatakan golongan pertengahan. Golongan inilah yang dikatakan paling terkesan akibat kenaikan kos sara hidup. Golongan inilah yang tidak mendapat BR1M, tetapi mereka pada masa sama terpaksa berdepan kenaikan tol, tariff elektrik, harga minyak dan barangan keperluan.

Untuk mengatasi masalah ini, Bajet 2016 mencadangkan beberapa pelan pelepasan cukai untuk menambah pendapatan boleh guna di kalangan golongan M40. Antaranya, pelepasan cukai kepada individu menyara ibu bapa berpendapatan di bawah RM2,000, peningkatan jumlah pelepasan cukai kepada individu melanjutkan pelajaran sehingga RM7,000, individu mempunyai anak yang melanjutkan pelajaran tinggi sehingga RM8,000, tambahan had pelepasan cukai untuk setiap anak berumur di bawah 8 tahun kepada RM2,000 dan anak OKU yang melanjutkan pengajian tinggi sehingga RM8,000.

Pelepasan cukai dan pengurangan cukai ini secara tidak langsung menambah pendapatan boleh guna individu dalam menghadapi inflasi dan pada masa sama mengekalkan permintaan domestik untuk memastikan kemapanan ekonomi negara.

Strategi bajet kali ini cukup menarik, melihatkan kerajaan bermain dengan pengurusan cukai dalam menangani persepsi rakyat. Peningkatan cukai kepada golongan berpendapatan tinggi juga cukup tidak disangka-sangka. Bajet mengumumkan kenaikan cukai kepada 26% untuk individu berpendapatan RM600,000 sehingga RM1 juta setahun dan 28% kepada individu berpendapatan lebih RM 1 juta.

Tindakan ini secara tidak langsung mengingatkan kita kepada cadangan bajet PR 2015 yang memperkenalkan Cukai Warisan dan Cukai Keuntungan Modal bagi menggantikan GST. Walaupun Bajet 2016 tidak memperkenalkannya, namun tindakan menaikkan cukai pendapatan orang kaya wajar dipuji.

Seterusnya, atas desakan ramai, Bajet 2016 menaikkan gaji minimum daripada RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak kepada masing-masing RM1,000 dan RM920. Bukan itu sahaja, kerajaan dengan beraninya mengumumkan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,200.

Dalam hal perumahan, sekali lagi Bajet 2016 memperuntukkan sejumlah Dana Pembiayaan Deposit Perumahan kepada pembeli rumah pertama. Cadangan ini sedikit sebanyak membantu golongan muda mendapatkan rumah tanpa perlu memikirkan pembayaran deposit. Bagaimanapun, cadangan ini perlu diperhalusi agar ia dapat disesuaikan dengan realiti harga semasa rumah di Malaysia, kini.

Dalam sektor perniagaan, Bajet 2016 turut memfokuskan sektor pelancongan dengan memberi pengecualian cukai 100% kepada syarikat-syarikat pelancongan sebagai galakan untuk meningkatkan jumlah pelancong di Malaysia.

Perusahaan kecil dan sederhana yang membentuk 98.5% daripada jumlah pertumbuhan perniagaan turut mendapat habuan menarik dalam bajet kali ini, iaitu pengecualian cukai 10-15% untuk meningkatkan nilai eksport. Sehingga kini, jumlah eksport yang disumbangkan PKS hanya 19% dan diharapkan insentif ini mampu meningkatkan lebih banyak eksport.

Bukan itu sahaja, Bajet 2016 menyediakan galakan kepada PKS untuk menjalankan projek R&D sehingga RM50,000 setiap tahun, dengan memberi peluang potongan cukai sebanyak 2 kali secara automatik. Hal ini secara tidak langsung memberi peluang kerjasama antara PKS dan universiti dalam projek R&D produk tempatan.

Namun, apa yang membimbangkan adalah sesetengah ahli Parlimen pembangkang masih bermain retorik dalam membahaskan bajet kali ini. Antara hujah popular adalah defisit Bajet 2016, pertambahan peruntukan Jabatan Perdana Menteri dan penghapusan GST.

Bajet defisit bukanlah bajet yang teruk, malah diguna pakai semua kerajaan negeri di Malaysia, termasuk yang ditadbir parti pembangkang nasional, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Cumanya, defisit bajet akan ditampung melalui pinjaman oleh kerajaan dan akan meningkatkan hutang awam. Hutang ini kemudiannya perlu dibayar faedah menggunakan pendapatan negara. Mengikut bajet kali ini, 10% daripada perbelanjaan mengurus diperuntukkan kepada pembayaran khidmat hutang sahaja!

Justeru, retorik “bajet defisit bajet teruk” sahaja tidak cukup untuk pembangkang tanpa penjelasan mengapa di negeri-negeri pembangkang, bajet masih defisit. Adakah pembangkang cakap tidak serupa bikin? Hanya tahu membangkang, tetapi negeri masing-masing sama juga. Sikap “cakap dulang, paku serpih” inilah yang perlu dielakkan pembangkang kerana mereka kini mempunyai negeri yang ditadbir dan turut akan dinilai rakyat.

Satu lagi hujah popular yang acapkali dimainkan dalam bajet kali ini adalah peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang meningkat dari tahun ke tahun. Hujah ini sememangnya membangkitkan kemarahan rakyat.

Namun, secara logiknya, peruntukan besar kerana terdapat 10 menteri di dalamnya serta 71 jabatan. Agensi dan syarikat berbanding kementerian lain yang mencakupi pelbagai sektor.

Bajet Selangor 2016 yang baru dibentangkan juga memperuntukkan sejumlah besar wang berjumlah 129.6 juta, iaitu 9.2% daripada perbelanjaan mengurus kepada Pejabat Menteri Besar. Sepertimana JPM, Pejabat Menteri Besar memegang portfolio penting, termasuk kewangan, sumber asli dan program ekonomi Selangor.

Mungkin hujah lebih baik adalah reformasi struktur pemusatan kuasa dalam JPM, di mana terdapat agensi-agensi tertentu yang mempunyai tugas hampir sama seperti dalam kementerian lain. JPM menpunyai agensi berkaitan agama, kewangan, keselamatan, tadbir urus, ekonomi dan macam-macam lagi. Hal ini juga berlaku dalam struktur pentadbiran Selangor, misalnya apabila MB juga memegang portfolio penting, seperti kewangan dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Hujah terakhir yang sememangnya seronok diretorikkan adalah penghapusan GST. Idea menghapuskan GST sememangnya hampir mustahil dan tindakan kurang bijak. Sumbangan GST kepada pendapatan negara sehingga RM39 bilion bukanlah sesuatu yang boleh diketepikan begitu sahaja oleh pembangkang.

Tambahan pula dengan penurunan harga minyak yang mempunyai kesan langsung terhadap pemberian dividen Petronas, penghapusan GST bukanlah langkah cerdik dan tidak praktikal.

Mungkin cara sesuai adalah mengurangkan kadar GST kepada 3-4% serta mencadangkan barangan dan perkhidmatan yang perlu diberi pengecualian atau kadar sifar. Hal ini secara tidak langsung membantu golongan terkesan dan pada masa sama mengekalkan pendapatan negara.

Oleh itu, pembangkang harus berhati-hati dalam menghujahkan bajet kali ini. Bajet kali ini dirangka cukup licik oleh PM kesayangan kita dalam mengimbangi sentimen rakyat dan keperluan negara. Tanpa mengharapkan terlalu banyak untuk bajet kali ini, sememangnya masalah utama negara adalah pelaksanaan segala macam janji dalam bajet ini.

Sama-samalah kita tunggu Laporan Audit Negara akan datang untuk mengetahui sejauh mana janji ditepati atau dicapati. Dan sentiasa beringat bajet sekadar cadangan peruntukan perbelanjaan dan tidak pun menyelesaikan isu ketirisan, salah guna kuasa dan pembaziran parti pemerintah ini.

Bagaimana pula bajet tahun ini?

Farhan Haziq Mohamed ialah Felo Muda Perpaduan Nasional, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas)

Tiada ulasan: