Khamis, 20 Oktober 2016

Nik Abduh tempelak Amanah cuba rosakkan Akta 355 PAS

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Amanah bukan saja meniru idea PAS bersabit usul untuk memperkasakan mahkamah syariah, malah merosakkan idea ke arah tujuan berkenaan, tempelak Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz.
 
Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengulas mengenai tindakan Amanah yang mengemukakan usul alternatif terhadap Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang bakal dibentang Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Lahirnya usul alternatif mereka, daripada PAS buat, maknanya kalau PAS tidak buat, mereka tidak ke mana, kosong.
 
"Tiba-tiba mereka nak kata mereka punya lebih baik, ikut mereka lah, itu memang PAN (Amanah).
 
"Maknanya apa yang kita buat lahir dairipada perjuangan lama kita akhirnya sampai ke Parlimen? Mereka bukan mencuri idea tetapi merosakkan idea," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.
 
Amanah minggu lalu menyerahkan usul alternatif menerusi ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan sepatutnya dimasukkan dalam kertas aturan parlimen minggu depan.
 
Usul itu antaranya mencadangkan pembentukan sebuah majlis merangkumi pakar agama dan undang-undang bagi membincangkan kaedah terbaik memperkasa Mahkamah Syariah.
 
Pimpinan Amanah sebelum ini mendakwa usul mereka lebih menyeluruh berbanding RUU Hadi, yang dilihat kabur dan terbuka kepada salah tafsir.
 
Menurut mereka, RUU Hadi lebih menekankan soal hukuman sedangkan untuk memperkasa Mahkamah Syariah memerlukan aspek keseluruhan dan perlu lebih komprehensif.
 
Dalam perkembangan berasingan, anak kepada bekas Mursyidul Am PAS itu menyokong kenyataan Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bersabit pendirian parti terhadap Himpunan BERSIH. 
 
Ujar Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, pendirian untuk menyertai himpunan BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0 tidak tetap dan berubah-ubah mengikut keperluan politik semasa.
 
"Berarak itu menyebabkan kerosakan jadi kita buat perhimpunan tetapi tidak lagi berarak, BERSIH masih lagi mahu buat himpunan yang berarak jadi kita rasa tidak seronok begitu.
 
"Kita tidak buat larangan cuma kita sebut bahawa parti tidak terlibat dengan perhimpunan tersebut maknanya kalau ahli PAS pergi tidak ada laporan dan tindakan diambil," katanya lagi.
 
PAS sebelum ini menyatakan pendirian untuk tidak turut serta dalam perhimpunan BERSIH 5 yang bakal diadakan pada 19 November depan.
 
PAS menyatakan bahawa objektif himpunan itu sudah jauh tersasar daripada landasan asal dan bertentangan dengan prinsip parti.
 
 

Tiada ulasan: