Selasa, 25 Oktober 2016

Najib gesa siasatan terperinci kebakaran di HSA

 
Perdana menteri berkata kerajaan juga akan meningkatkan tahap keselamatan di hospital berkenaan.


Najib Razak


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melakukan siasatan terperinci secepat mungkin untuk mengenal pasti punca kebakaran Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru hari ini, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan juga akan meningkatkan tahap keselamatan di hospital berkenaan.

“Sedih menerima berita ada yang terkorban dalam kejadian kebakaran. Takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kebakaran Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitternya.

Najib juga memaklumkan polis, Kementerian Kesihatan dan bomba sedang menguruskan keadaan di tempat kejadian.

Enam pesakit maut dalam kebakaran yang berlaku sejurus sebelum 9 pagi ini di tingkat 2 wad ICU selatan HSA.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Othman Abdullah berkata 166 anggota bomba dan 10 jentera dikejarkan ke HSA selepas panggilan kecemasan diterima.

Tiada ulasan: