Ahad, 2 Oktober 2016

Muhyiddin minta PAS beri kerusi tradisi pada PPBM

Oleh Zeanaaima Md Yusuf
Post Pic
 
 
KEMAMAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta PAS menyerahkan beberapa kerusi tradisi parti itu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan datang.
 
Bagaimanapun PPBM menuntut kerusi yang gagal dimenangi PAS pada pilihan raya umum yang lepas.
 
"Lepas ini saya nak beri amaran pada PAS, kalau ada kerusi-kerusi PAS...boleh bagi pada BERSATU (PPBM) berilah. Bukan bagi yang dah ada (menang), yang dah menang itu, menanglah tak usah kacau. 
 
"Tapi bagi yang mana PAS tanding tapi kalah, Umno menang. Yang itu bagi kita cabar. Kalau letak BERSATU (PPBM), InsyaAllah, boleh menang," ujarnya ketika berceramah di Himpunan Harapan Semua, PAS Ganti Umno (PGU) HARAP 3.4, di Kemensik, Kemaman, Terengganu, malam tadi.      
 
Muhyiddin malam tadi buat pertama kalinya tampil di atas pentas ceramah PAS memberitahu, dirinya mewakili PPBM sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan pemimpin PAS dan berbincang mengenai usaha ke arah kerjasama dengan parti itu pada pilihan raya akan datang.
 
Ujarnya, pertemuan itu amat positif dan tidak menolak hasrat untuk pakatan pembangkang menjamin pertandingan satu lawan satu pilihan raya akan datang, menjadi kenyataan.
 
"Sebelum saya gerakkan BERSATU (PPBM), saya runding dua kali dengan Datuk Mustafa Ali (Pengarah Pilihan Raya PAS). Saya jumpa dengan (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presien PAS) dan saya juga berunding Tuan Guru Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beberapa minggu lepas. 
 
"Saya rasa peringkat pertama pertemuan antara BERSATU (PPBM) dengan PAS jelas terbukti minat untuk bersama-sama bergabung dalam satu pakatan untuk tentukan banyak kawasan yang bakal kita tandingi adalah 'satu lawan satu'," Ujar Muhyiddin.
 
PPBM boleh jadi orang tengah 
 
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata beliau yakin, PPBM boleh memainkan peranannya membantu PAS dan Pakatan Harapan (PH), agar bekerjasama menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kali ini.
 
"Saya nak alu-alukan kerjasama (antara PAS) dengan parti-parti pembangkang termasuklah BERSATU (PPBM), kami bersedia untuk duduk bersama-sama.
 
"BERSATU (PPBM) bersedia untuk bersama-sama dalam apa jua keadaan sekalipun. BERSATU (PPBM) mengharapkan kerjasama PAS, adalah kerjasam antara dua hubungan parti yang paling kami hargai," katanya.       
 
Muhyiddin dalam ucapannya berkali-kali menyatakan penghargaannya apabila dijemput untuk berceramah dalam program PAS, yang suatu ketika dahulu menjadi musuh politiknya.
 
Malah penampilan sulungnya ini dikatakan banyak pihak sebagai usaha bekas timbalan presiden Umno itu untuk meraih sokongan PAS terhadap penubuhan PPBM, bulan lalu.
 
"Saya berada disini buat pertama kali, saya duduk dengan kawan-kawan yang pakai baju hijau, saya pakai merah, tapi matlamat kita sama.
 
"Dalam sejarah hidup saya tak pernah saya mimpikan berada dalam suatu himpunan bersama pimpinan PAS. Selama lebih 45 tahun saya berada politik Umno, PAS adalah parti yang saya tentang," ujarnya disambut laungan takbir oleh hadirin yang hadir.
 
PAS sebelum ini dilihat menjarakkan diri daripada mengulas kerjasamanya dengan PPBM, selepas parti tajaan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berikrar mahu menjatuhkan kepimpinan penggantinya, Datuk Seri Najib Razak.
 
PAS berulang kali menegaskan, menerusi slogan terbarunya, Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), parti itu tidak menyokong usaha menjatuhkan kerajaan pemerintah melalui cara yang tidak demokratik.
 
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dalam sidang medianya berkata, kenyataan Muhyiddin bahawa pertemuan PPBM dengan PAS ke arah kerjasama politik, cukup positif adalah pandangan peribadinya.
 
PAS masih bincang kerjasama dengan pembangkang
 
Ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, sehingga kini proses rundingan masih berlaku, malah katanya, keputusan berhubung isu ini tidak akan dicapai dalam masa terdekat.
 
"Sebenarnya kita belum ada keputusan lagi berkenaan isu ini. Saya tidak boleh beri kenyataan peribadi (dalam isu ini). Ini babitkan polisi dan strategi politik pilihan raya. 
 
"Berkenaan satu lawan satu (pada pilihan raya umum), memang kita (PAS) berkehendak macam itulah. Cuma jangan orang pula datang dengan tanpa minta izin dan sebagainya. Konsep kita konsisten," ujarnya kepada pemberita

Tiada ulasan: