Khamis, 20 Oktober 2016

Mufti nafi dakwaan bapa saudara berhak atas wang derma pada anak mangsa maut DUKE [TONTON VIDEO]

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri hari ini tampil meleraikan kekeliruan berhubung isu wang derma membabitkan dua anak kepada pasangan suami isteri yang maut akibat kemalangan di Lebuh Raya Duke, 2 Mei, tahun lalu.
 
Dr Zulkifli memberitahu pihaknya dengan tegas menyatakan wang derma kepada dua anak yatim piatu itu adalah hak mereka manakala ibu atau bapa saudara kanak-kanak malang itu hanyalah pemegang amanah semata-mata.
 
"Kami dengan tegas menyatakan bahawa bapa saudara atau ibu saudara hanya sebagai pemegang amanah (trustee/mutawalli) di mana hak pengurusan (tasarruf) wang berkenaan adalah tertakluk kepada keperluan (maslahah) dan  sumbangan/sedekah kepada kedua anak yatim berkenaan, dan diuruskan dengan penuh kejujuran dan rasa tanggungjawab. 
 
"Itulah yang kami maksudkan kepada pihak (ibu/bapa saudara) yang bertanya. Bukannya wang itu sepenuhnya menjadi hak milik pemegang amanah dan boleh digunakan untuk manfaat peribadi dengan sewenang-wenangnya," tegas Zulkifli menerusi kenyataan medianya, hari ini.
 
Sebelum ini, ibu saudara kepada dua kanak-kanak ini mendedahkan daripada sekitar RM300,000 wang sumbangan orang ramai, hanya RM12,000 sampai ke tangan anak saudaranya itu.
 
Yusnidah Hussain mendakwa kesemua wang sumbangan ituorang ramai disalurkan ke dalam akaun bank dua adik lelakinya (adik ketiga dan keenam). Namun kedua-duanya enggan menyerahkan wang berkenaan dan mendakwa duit itu adalah hak mereka. 
 
"Alasan dia, merujuk kepada Mufti Wilayah katanya, duit yang dimasukkan oleh orang ramai adalah harta dan hak mereka, sebab dalam akaun adalah atas nama mereka bukan untuk anak-anak ini. Ia milik mereka berdua," ujarnya dalam satu sidang mediannya, pada Selasa.
 
"Mula-mula duit dikumpul banyak, ramai yang datang (ziarah) termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri bagi sumbangan dipegang oleh adik (bongsu) saya. Arwah mak cakap jangan semua dia pegang, agih pada Alang (adik nombor tiga), saya tiada dalam senarai untuk jaga anak-anak ini, sebab tanggungan saya besar. Tapi anak-anak (arwah) tak mahu dengan mereka. Setiap kali ada sumbangan masuk, hantar rumah mak," jelasnya.  
 
Menurut Yusnidah, hubungannya dengan adik-beradik yang lain sudah retak dan hanya adik kelima sahaja menyokong usahanya menuntut hak untuk dua anak saudaranya itu.
 
Yusnidah anak kedua (satu-satunya anak perempuan) daripada enam adik-beradik. Allahyarham adiknya anak keempat.
 
"Saya sudah buat laporan polis. Tapi polis tak mahu ambil tindakan sebab ini kes keluarga. Jadi kalau perkara ini berlaku pada keluarga lain adakah mereka menerima nasib yang sama. Nasib anak-anak ini tidak terbela. Saya mahu keadilan untuk anak-anak ini. Kalau yang hak, memang hak,"  katanya sebak.
 
"Saya dicabar oleh adik nombor tiga untuk bawa kes ini ke mahkamah. Bila saya dah buat ikut prosedur, dia kata saya tak bawa berbincang. Saya dah habis berunding, bagaimana nak jaga anak ini, sama ada giliran ke tapi mereka tidak terima.
 
"Yang buat mereka betul-betul beriya-iya bergaduh bila dapat tahu anak-anak ini ditinggalkan insurans oleh bapa mereka, ada sikit-sikit aset hingga buatkan mereka...tak tahulah, hartakan," katanya lagi.
 
Yusnidah turut mendedahkan keluarga sebelah adik iparnya (arwah isteri kepada arwah adiknya) turut membuat penipuan dengan mengeluarkan wang insurans si mati bernilai RM50,000 dengan mendakwa mereka menjaga dua anak mangsa.
 
Walhal, kedua-dua anak malang itu dijaga Yusnidah seminggu selepas kematian pasangan itu hingga ke hari ini.
 
Yusnidah juga memberitahu, dirinya dan dua anak saudaranya itu terpaksa menerima kaunseling daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghadapi trauma yang dihadapi kanak-kanak itu akibat kehilangan kedua ibubapanya, secara mengejut. 
 
"Amira ini, bila sesekali dia teringat, makan atau pergi ke tempat-tempat yang ingatkan dia pada arwah, dia akan menjerti 'papa..mama'. Kadang-kadang dia tiba-tiba jatuh pengsan.
 
"Saya tertekan, sebab anak ini menangis waktu malam, pukul 12 tengah malam, pukul tiga pagi dia meraung-raung, orang lain semua ambil kesempatan, tak pernah jaga anak ini sekalipun.
 
"Malam saya tak boleh tidur. Bila tengok anak-anak ini waktu malam dan waktu makan dia akan teringat (arwah) dan mereka akan sebut papa dan mama dia. Kita pun akan jadi menangis juga. Saya tak boleh tidur sebab adik yang meninggal itu rapat dengan saya," kata Yusnidah.
 
Yusnidah mempunyai tujuh orang anak dan turut membela seorang menantu dan seorang cucu berusia empat tahun, selepas anak keduanya meninggal dunia akibat kemalangan di Ampang, Kuala Lumpur.
   
Untuk rekod, Fairuz Nizam Husain, 35; isterinya, Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa, tujuh bulan, maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuh Raya DUKE.
 
Pasangan itu meninggalkan dua anak, Nur Firuza Amira, 9 dan Nur Firuza Aqila, 5, ketika kejadian berlaku.
 
 
 

Tiada ulasan: