Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Presiden Amanah, Mohamad Sabu hari ini membidas pihak yang
menyamakan Himpunan BERSIH yang bertujuan menuntut pilihan raya yang
adil dengan insiden Arab Spring.
Menyifatkan perbandingan itu sebagai bodoh, Mohamad atau Mat Sabu
menambah ia sengaja ditimbulkan selepas pihak berkenaan tidak mahu
menyertai BERSIH 5, November depan.
"Terlalu bodoh orang yang mengatakan himpunan BERSIH meniru atau
lanjutan daripada Arab Spring. Kita tetap komited dengan demokrasi dan
pilihan raya untuk mengambil alih kuasa bukan dengan cara yang lain.
"Mereka yang mengatakan himpunan BERSIH ala Arab Spring adalah suatu
kebodohan dan berpura-pura serta suatu alasan yang diada-adakan oleh
mereka yang tidak mahu menyertai himpunan BERSIH 5 ini," katanya memetik
kenyataan di portal Malaysiakini.
Ujar Mat Sabu lagi, himpunan atau demonstrasi aman sudah mula diamalkan
di negara ini sejak Malaysia belum mencapai kemerdekaan lagi dan
digerakkan oleh pelbagai pihak, termasuk parti-parti politik dan badan
bukan kerajaan (NGO).
Parti-parti politik pembangkang masa kini, seperti PKR, DAP dan PAS
juga pernah mengadakan himpunan aman pada 2008 bagi menuntut sebuah
pilihan raya yang bersih, katanya.
Kenyataan Mat Sabu itu dipercayai merujuk kepada amaran Presiden PAS,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya pembangkang tidak membawa budaya
'spring' ke negara ini.
Menerusi amaran itu semalam, Hadi menyebut besar natijahnya sekiranya
pembangkang berterusan membakar sentimen rakyat untuk membenci kerajaan
pemerintah.
Pembangkang juga perlu insaf serta mengambil iktibar daripada ‘Arab
Spring’ yang kini diibaratkan buah beracun - meragut nyawa tanpa batas.
Hadi mengimbau sejarah ‘Arab Spring’ dengan insiden pertama berlaku
semasa Revolusi Arab 1916 akibat tindakan Raja Wilayah Hijaz, Syarif
Husain mengisytiharkan perang terhadap kerajaan Turki Uthmaniyyah
sehingga menyebabkan dunia Arab berkecai.
Sejak BERSIH 4.0, PAS konsisten menolak demonstrasi jalanan bagi menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.
Begitu juga dengan BERSIH 5 yang akan diadakan 19 November depan, PAS
mengambil pendirian untuk tidak bersama parti-parti pembangkang yang
lain dalam himpunan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan