Isnin, 10 Oktober 2016

MCMC 'tutup mulut' Jamal?

MALAYSIAKINI


Selepas mengeluarkan kenyataan dililhat banyak pihak berbaur hasutan kini 'mulut' ketua gerakan baju merah Datuk Seri Jamal Md Yunos bagaikan ditutup.

Semuanya kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menutup akaun Facebook yang mempunyai kaitan atau menggunakan nama ketua Umno Sungai Besar itu.

"Semua akaun FB yang menyerupai akaun saya Jamal Md Yunos atau JamalYunos serta yang ada gambar saya, termasuk FB original saya ditutup oleh pihak FB dan MCMC semenjak malam tadi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini sebentar tadi masih ada beberapa akaun menggunakan nama beliau masih boleh diakses.

Antaranya, https://www.facebook.com/DatoJamalMdYunos/?fref=ts dan https://www.facebook.com/datojamal.yunus?fref=ts&hc_location=ufi.

Beliau yang semakin popular sejak akhir-akhir ini ekoran kemunculannya bersama kumpulan baju merah mendepani penyokong BERSIH berkata akaun asli miliknya dipercayai akan dapat diaktifkan semula tidak lama lagi.

Kata Jamal, akaun berkenaan - yang didakwa beliau miliknya yang sebenar - tidak boleh dikemas kini selama tiga hari.

Malam tadi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan polis menjalankan siasatan ke atas Jamal ekoran kenyataan di satu akaun Facebook di bawah nama "Dato Jamal Yunos" dianggap menghasut.

Jamal bagaimanapun mendakwa kenyataan yang turut mengaitkan insiden 13 Mei dan "parang terbang" itu dipalsukan.

Belau juga menuding jari kepada DAP sebagai dalang pemalsuan berkenaan.

Sehubungan itu malam tadi satu laporan polis telah dibuat Presiden Pertubuhan Mesra Setiakawan Malaysia (PMSM), Mohd Azli Jaafar di Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam.

Aduan juga dibuat kepada MCMC.

Laporan menyebut posting didakwa palsu oleh Jamal itu mendapat reaksi agak luar biasa iaitu 2.8 juta like, 4.8 juta komen dan 6,209 perkongsian.

Mengulas lanjut Jamal tetap positif dengan penutupan akaun Facebook beliau.

Katanya, dengan penutupan oleh MCMC itu kebenaran akan terbukti dan pada akhirnya keadilan akan berpihak kepada beliau.

"Akaun FB saya telah ditutup oleh MCMC. Akaun FB tersebut adalah akaun palsu yang saya yakin dipalsukan oleh kumpulan BERSIH 5 yang mana mereka kecewa dan marah kepada saya kerana berjaya menggagalkan semua konvoi yang mereka nak buat.

"Jadi, sebab itu mereka cuba mencari jalan lain untuk bertindak balas.

"Saya yakin kebenaran dan keadilan akan berlaku di situ kerana sistem perundangan negara kita ini sama rata dan sama adil serta keadilan ini akan membawa kebenaran," kata Jamal.

Tiada ulasan: