Isnin, 3 Oktober 2016

MCA tidak akan rebut kerusi tambahan bagi PRU-14

MALAYSIA GAZETTE


Ong Ka Chuan
Ong Ka Chuan
 
 
MCA Pulau Pinang tidak berhasrat untuk merebut mana-mana kerusi tambahan daripada parti komponen lain Barisan Nasional (BN) dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi MCA negeri Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata impian sesebuah parti politik adalah supaya parti dapat berkembang dengan pertambahan kerusi tetapi bukan dengan cara merebut daripada rakan parti komponen BN.

"Kami mengalu-alukan pertambahan kerusi sekiranya diberi mengikut semangat Barisan Nasional dan kami tidak bercadang untuk berebut dengan parti komponen lain sehingga wujudnya pertelingkahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan MCA Bahagian Bagan di sini hari ini.

Katanya jentera pilihan raya telah mula digerakkan di seluruh negeri sejak bulan Jun lepas dan sasaran parti di Pulau Pinang adalah untuk memenangi kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini.

Ong yang juga Setiausaha Agung MCA pusat berkata pihaknya sudah mengenal pasti 10 calon yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat individu bagi kerusi Parlimen.

"Setakat ini MCA Pulau Pinang sudah bersedia untuk meletakkan calon bagi semua kerusi yang dipertandingkan pada PRU lepas dan yakin mampu menarik sokongan pengundi kaum Cina," katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan enam calon yang bakal mewakili parti untuk bertanding bagi kerusi parlimen bahagian Bagan dan dua kerusi DUN iaitu Sungai Puyu serta Bagan Jermal.

Katanya daripada enam nama yang akan diserahkan kepada MCA pusat, hanya tiga calon sahaja akan dipertaruhkan untuk mewakili MCA di bahagian Bagan.

"Enam nama iaitu Timbalan Pengerusi MCA Bagan Lim Hai Song, Setiausaha organisasi MCA Bagan Leon Tan, Timbalan Ketua Pemuda MCA Bagan Ang Chor Keong, Bendahari MCA Bagan Sum Yoo Keong, Setiausaha MCA negeri Dr Tan Chuan Hong dan Anggota Perwakilan MCA Bagan Khaw Tee Yong akan diserahkan untuk persetujuan parti pusat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata senarai pendek calon yang akan bertanding pada PRU-14 itu berkemungkinan mengalami perubahan, jika persempadanan semula kawasan pilihan raya dijalankan.
-- BERNAMA


Tiada ulasan: