Isnin, 3 Oktober 2016

Maut dalam perjalanan ke konvokesyen

 


Impian seorang penuntut politeknik untuk menggenggam segulung diploma dalam majlis konvokesyen hari ini berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam satu kemalangan maut di Sabak Bernam pagi tadi.

Mangsa Nurul Azmina Alias, 21 dan berasal dari Flat Sri Melaka, Cheras dan menuntut di Politeknik Sultan Idris Shah Sabak Bernam di sini.

Semasa kejadian di Jalan Kampung Simpang Tebuk Sultan, Sungai Air Tawar itu mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Air Tawar menuju ke politeknik untuk menghadiri majlis konvokesyen tersebut.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi tadi, Proton Perdana V6 yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum berlanggar dengan papan tanda jalan serta tembok konkrit.

"Mangsa bersama kereta yang dipandu itu terjunam ke dalam parit yang mempunyai kedalaman air setinggi dua meter di bahu kiri jalan itu," katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Ekoran kejadian itu, mangsa disyaki lemas dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, orang awam yang melihat kejadian itu bergegas dan membantu mengeluarkan mayat dari kereta sebelum dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk tindakan susulan.

"Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan lemas," ujarnya lagi. -- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: