Khamis, 13 Oktober 2016

Mahkamah tolak rayuan TV3 bayar ganti rugi kepada Nizar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) untuk membayar ganti rugi RM30,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
 
Bagaimanapun, Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membenarkan kuantum yang diberikan oleh timbalan pendaftar dikurangkan daripada RM200,000 kepada RM180,000.
 
Jumlah itu adalah sebagai ganti rugi am. Mahkamah menolak tuntutan ganti rugi teladan dan teruk.
 
TV3 sebelum ini diperintahkan membayar ganti rugi RM200,000 berikutan penyiaran laporan berita mengenai isu nombor pendaftaran plat WWW 1 milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kira-kira empat tahun lalu.
 
Hakim Yeoh memutuskan bahawa adalah tidak wajar untuk mengurangkan kuantum kepada RM30,000 selepas kes TV3 menjalani perbicaraan penuh.
 
Mahkamah membandingkan ini dengan ganti rugi sebanyak RM50,000 yang Utusan Malaysia diarahkan membayar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan penyelesaian di luar mahkamah, dalam satu kes fitnah lain.
 
Dalam kes itu yang direkodkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Oktober lalu, Utusan Malaysia melahirkan rasa kecewanya berhubung artikelnya yang mengaitkan bekas ketua pembangkang itu dengan pencerobohan militan di Lahad Datu, Sabah.
 
TV3 diwakili oleh peguam Lim Qi Si manakala Nizar diwakili oleh Mohd Fitri Asmuni.
 
Nizar menyaman TV3 dan penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah mendakwa stesen televisyen itu telah menyiarkan kenyataan berbaur fitnah menerusi siaran berita Buletin Utama pada 30 Mei 2012 berhubung tweetnya.
 
Mahkamah Tinggi pada 12 April 2013 menolak saman fitnah Nizar dan beliau kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya pada 25 Februari 2014 dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.
 
Pada 14 Julai lalu, Timbalan Pendaftar, Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli memerintahkan TV3 membayar ganti rugi RM200,000 kepada Mohammad Nizar.
 
 

Tiada ulasan: