Rabu, 12 Oktober 2016

Mahkamah tangguh umum keputusan semakan kes liwat Anwar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan pada satu tarikh lain keputusan semakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, lapan tahun lalu.
 
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan keputusan itu selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.
 
Beliau bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Hasan Lah,  Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
 
Barisan pendakwaan diketuai oleh Ketua Unit Perbicaraan dan Rayuan, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid manakala Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai barisan pembelaan.
 
Mahkamah tertinggi negara mendengar permohonan semakan Anwar dalam usaha terakhirnya untuk mengetepikan keputusan panel terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya.
 
Pada 10 Februari tahun lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menolak rayuan Anwar agar dia dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara kerana meliwat Mohd Saiful, 31, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
 
Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut manakala Mahkamah Rayuan mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014. - Utusan Malaysia
 
 

Tiada ulasan: