Isnin, 24 Oktober 2016

Mahkamah Arah Anwar Bayar RM100,000 Kepada Anifah

 

 



PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuntutan samannya terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, sebaliknya mengarahkan bekas ketua pembangkang itu membayar kos RM100,000.


Panel hakim diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid berkata kes Anwar tidak mempunyai merit.

Panel turut disertai Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Sebelum ini, saman Anwar menuntut RM100 juta daripada Anifah ditolak Mahkamah Tinggi pada tahun lalu, dengan menganugerahkan kos RM20,000 kepada ahli politik Sabah itu.

Ia memutuskan mahkamah tempatan tidak ada kuasa membicarakan perkara yang berlaku di luar Malaysia.
Saman fitnah Anwar berkisar sidang media Anifah di Washington pada 2009.

Anwar menuduh menteri berkenaan cuba menggambarkan beliau seorang yang tidak layak memegang apa-apa jawatan dan ancaman kepada masyarakat Malaysia.

Dalam sidang media itu, Anifah dilaporkan mendakwa pernah ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri sekiranya mendapatkan sokongan wakil rakyat Sabah bagi menjatuhkan kerajaan BN.

Pada 2008, Anwar mengumumkan berjaya meyakinkan majoriti ahli Parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak supaya tidak menyokong kerajaan pimpinan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Usaha itu bagaimanapun gagal.

Anwar diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli dan J. Leela, manakala Tan Sri Shafee Abdullah mewakili Anifah.

Razlan berkata Mahkamah Tinggi silap keputusan memihak Anifah dengan berdasarkan kenyataan penafian pada sidang media itu.

Anifah dilaporkan berkata sidang media itu yang ucapannya adalah hanya untuk pengetahuan mereka yang hadir.

Menurut Razlan, sebagai seorang menteri, Anifah tidak patut membuat ucapan sedemikian sekiranya sedar ia akan diterbitkan – FMT

Tiada ulasan: